Images
  • tank

Kapal tangki Iran akan dibebaskan jika Tehran beri jaminan ia tidak dikirimkan ke Syria

LONDON: Menteri Luar Britain, Jeremy Hunt memberitahu rakan sejawatannya dari Iran, London akan meluluskan pembebasan kapal tangki Iran jika Tehran memberikan jaminan, kapal itu tidak akan dikirimkan ke Syria.

Kapal tangki Grace 1 ditahan Tentera Marin DiRaja Britain di perairan Gibraltar kerana disyaki mencabuli sekatan-sekatan ekonomi ke atas Syria.

Encik Hunt menambah pertemuan dengan rakan sejawatannya Mohammad Javad Zarif adalah membina dan beliau diberitahu, Iran mahu menghuraikan isu tersebut dan tidak berniat untuk memburukkan lagi ketegangan.

Semalam (13 Jul), Iran mengulangi seruan agar kapal tangki Grace 1 dibebaskan. Ia bagaimanapun bertekad untuk terus mengeksport hasil minyaknya.

Tehran menyalahkan Washington di atas penahanan kapal tangki Iran itu atas tujuan menyekat eksport minyak Iran.

Negara-negara Eropah tiada sekatan ke atas Iran tetapi mengenakan sekatan ke atas Syria sejak 2011.

Menurut Ketua Menteri Gibraltar, penahanan kapal tangki Grace 1 yang membawa 2.1 juta tong minyak, bukan atas arahan mana-mana negara lain.

- Agensi berita/AA/na

Top