Images
  • Iran flag
    Bendera Iran. (Gambar: REUTERS/Lisi Niesner)

Kapal kargo Iran diserang di Laut Merah

KAHERAH: Sebuah kapal kargo Iran diserang di Laut Merah.

Demikian menurut laporan Al Arabiya TV pada Selasa (6 Apr), memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan. Agensi berita Iran, Tasnim, menyatakan kapal itu menjadi sasaran periuk api.

Al Arabiya memetik sumber-sumber sebagai menyatakan kapal itu diserang di luar pesisir Eritrea dan ada kaitan dengan Pengawal Revolusi Iran. Namun ia tidak menyediakan bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Tasnim mengenal pasti kapal itu sebagai kapal dari Iran, Saviz.

"Kapal Saviz Iran berlabuh di Laut Merah sejak beberapa tahun lalu untuk menyokong para komando Iran yang dikerahkan bagi misi pengiringan menaiki kapal komersil (anti-lanun)," lapornya.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas. Para pegawai Iran tidak dapat dihubungi segera untuk mengulas.

Ini adalah kejadian terbaru dalam beberapa siri serangan yang dilaporkan ke atas kapal-kapal kargo milik Israel dan Iran sejak lewat bulan Februari lalu. Dua musuh ketat itu saling menuduh antara satu sama lain sebagai bertanggungjawab ke atas serangan-serangan tersebut.

Insiden-insiden itu berlaku sejak Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, menyandang jawatan dalam bulan Januari dengan komitmen untuk menyertai semula perjanjian nuklear 2015 kuasa-kuasa dunia dengan Iran jika Tehran kembali mematuhi perjanjian itu sepenuhnya.

Iran dan Amerika Syarikat pada Selasa (6 Apr) memulakan rundingan secara tidak langsung di Vienna bersama kuasa-kuasa lain berhubung cara untuk menghidupkan semula perjanjian itu.

Kedua-dua Iran dan Amerika Syarikat menyifatkan perbincangan itu sebagai "membina". 

- Reuters/NK/nk

Top