Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak perempuan maut akibat terkena mercun

Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia Selasa malam (19 Jun) selepas empat hari dirawat di hospital akibat terkena mercun dalam kejadian di Felda Papan Timur, dekat Kota Tinggi, Khamis lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak perempuan maut akibat terkena mercun

(Gambar hiasan: Malaysian Times)

Diterbitkan : 20 Jun 2018 11:06AM Dikemas Kini : 20 Jun 2018 11:07AM

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia Selasa malam (19 Jun) selepas empat hari dirawat di hospital akibat terkena mercun dalam kejadian di Felda Papan Timur, dekat Kota Tinggi, Khamis lalu.

Bapa mangsa, Muhammad Saad Yusuf, 43 tahun, berkata Nuraqira Khaeefa, 7 tahun, cedera di kepala dipercayai terkena serpihan mercun dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada 8.45 malam tadi.

“Kejadian berlaku pada malam raya iaitu kira-kira 10 malam Khamis lepas ketika Nuraqira Khaeefa bersama beberapa sepupunya bermain bunga api di halaman rumah datuknya."

“Ketika itu saya sedang baring di dalam rumah dan turut mendengar bunyi letupan kuat di luar rumah,” katanya semalam.

Muhammad Saad berkata isterinya dan seorang anggota keluarga mereka kemudian bergegas ke luar rumah dan mendapati Nuraqira Khaeefa sudah rebah dengan pendarahan pada kepala.

Katanya anak ketiga daripada empat beradik itu kemudian dibawa ke klinik berdekatan dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dirujuk ke HSA.

Menurutnya Nuraqira Khaeefa tidak sedarkan diri sejak hari kejadian sehingga menghembuskan nafas terakhir semalam. Pemeriksaan doktor mendapati tempurung kepala anaknya itu pecah yang menyebabkan pendarahan otak.

“Saya tidak pasti bagaimana kejadian itu boleh berlaku tetapi difahamkan semasa kejadian terdapat beberapa kanak-kanak lain di beberapa rumah berdekatan turut bermain mercun,” katanya yang bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu di Kota Masai.

Mengimbas mengenai perwatakan anaknya sebelum kejadian, Muhammad Saad berkata Nuraqira Khaeefa yang juga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2 itu agak berbeza kerana dia tidak manja seperti kebiasaan.

Katanya jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Papan Timur, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Ahsmon berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan/Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak.

"Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian. Mohon orang awam menyalurkan maklumat kepada pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah ASP Azizul Hamsar Mohamad,” katanya.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan