Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak lelaki rentung dalam kebakaran kontena

Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam sebuah kontena menyimpan barangan lama akibat kebakaran di padang permainan Kampung Jawa, Bayan Lepas di Pulau Pinang pada Ahad (13 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak lelaki rentung dalam kebakaran kontena

Kebakaran berlaku di dalam sebuah kontena di padang permainan Kampung Jawa, Bayan Lepas di Pulau Pinang. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Jan 2019 08:51AM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 09:01AM

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam sebuah kontena menyimpan barangan lama akibat kebakaran di padang permainan Kampung Jawa, Bayan Lepas di Pulau Pinang pada Ahad (13 Jan).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd Tarmizi Abdul Salam, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.15 tengah hari dan sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati api sedang marak.

"Pihak bomba dimaklumkan seorang kanak-kanak terperangkap dalam kontena berkenaan dan mayat Muhammad Saifuddin Ali Subahan Senni, 8, ditemui rentung 100 peratus selepas kami berjaya memadam kebakaran itu," katanya kepada para wartawan.

Encik Mohd Tarmizi berkata menurut orang awam, kontena itu tidak berkunci dan kerap dijadikan tempat kanak-kanak di kawasan berkenaan bermain di situ.

Beliau berkata punca kebakaran masih disiasat dan pihak bomba berjaya mengawal serta memadamkan api pada pukul 12.40 tengah hari.

MANGSA DIPERCAYAI BERMAIN DENGAN PEMETIK API

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A.A Anbalagan, berkata berdasarkan siasatan dan keterangan awal rakan kanak-kanak itu yang bermain dengannya dalam kontena berkenaan, mangsa bermain dengan pemetik api sebelum api menyambar barangan yang terdapat di dalamnya, termasuk sebuah sofa.

Rakannya itu, yang juga seorang kanak-kanak lelaki, terbakar di bahagian tepi rambut. Namun, beliau berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa tidak sempat berikutan api marak dengan cepat.

Menurut Encik Anbalagan, siasatan setakat ini tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan. Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

BAPA TIDAK DENGAR ANAK JERIT ATAU MINTA TOLONG

Sementara itu, ayah kanak-kanak berkenaan, Subahan Senni Santar Abdullah, berkata anak ketiga daripada empat beradik tersebut keluar ke kedai nenek mereka bersama dua abangnya untuk bersarapan, sebelum beliau dimaklumkan anaknya terlibat dalam kebakaran tesebut.

"Saya ada di rumah masa kejadian dan tiba-tiba isteri saya yang dalam pantang anak bongsu kami berusia sebulan bagi tahu Ali terbakar. Saya ingat dia terbakar sikit sahaja dan terus ke lokasi kontena berkenaan.

"Sebaik sampai, api sedang marak dan penduduk di sini membantu memadamkan kebakaran... mereka juga bagi tahu anak saya ada dalam kontena manakala seorang rakannya yang bermain dalam kontena itu sempat menyelamatkan diri semasa kejadian," katanya, sambil menambah beliau kehilangan kata-kata serta tidak mampu berbuat apa-apa, hanya mampu berdoa agar anaknya selamat.

Encik Subahan Senni bagaimanapun pasrah dengan khabar bahawa Muhammad Saifuddin Ali sudah meninggal dunia kerana beliau langsung tidak mendengar suara anaknya itu menjerit atau menangis meminta tolong.

Beliau berkata dua abang Muhammad Saifuddin Ali tidak menyangka adik mereka bermain dalam kontena berkenaan kerana tidak pernah bermain di situ. Malah, nenek mereka juga menyangka mangsa sudah balik ke rumah selepas selesai bersarapan.

"Pagi tadi, dia tengok televisyen cerita kartun dengan saya sebelum saya bagi duit RM2 (S$0.66) untuk pergi bersarapan dengan abang-abangnya di kedai nenek mereka yang tidak jauh dari kontena berkenaan... arwah tidak tunjuk sebarang perubahan dan dalam keadaan baik, serta senyum ke arah saya seperti selalu sebelum keluar rumah.

"Arwah memang anak yang baik dan rajin ke sekolah... cuma baru-baru ini, dia minta kereta mainan dan saya janji akan beli tapi nampaknya saya tidak sempat membelinya. Kami sekeluarga reda dengan kejadian menimpa anak saya," katanya.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan