Images
  • ISIS flag
    Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Kanak-kanak Iraq diseksa supaya mengaku ada 'kaitan ISIS': HRW

BAGHDAD: Pasukan keselamatan di Kurdistan, Iraq, ‘menyeksa kanak-kanak’ untuk memaksa mereka mengaku mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS, kata Human Rights Watch (HRW) pada Selasa (8 Jan).

Kumpulan hak asasi itu menyatakan, ia menemuramah 23 budak lelaki berusia antara 14 dengan 17 tahun yang didakwa atau disabitkan menganggotai IS, dengan 16 daripada mereka mendakwa ‘diseksa’ ketika disoal siasat.

Beberapa budak lelaki berkata, para anggota pasukan keselamatan Kurdi dikenali sebagai Asayesh, memukul mereka dengan paip plastik, kabel elektrik atau batang kayu sementara yang lain berkata, mereka dikenakan kejutan elektrik atau berada pada kedudukan tekanan menyakitkan digelar ‘kala jengking,’ menurut badan pemantau itu.

“Beberapa budak lelaki berkata, mereka diseksa secara berterusan selama beberapa hari dan ia hanya dihentikan apabila mereka ‘mengaku’ terbabit dengan IS.

“Kebanyakannya berkata, mereka tiada akses mendapatkan peguam dan tidak dibenarkan membaca pengakuan ditulis Asayesh yang memaksa mereka menandatanganinya,” tambahnya.

Katanya, hukuman dikenakan pasukan keselamatan Pemerintah Daerah Kurdistan di utara Iraq berlaku pada 2017 dan 2018 walaupun pihak berkuasa berjanji menyiasat dakwaan seksaan itu.

HRW menyatakan, para kakitangannya menemu ramah budak-budak lelaki itu semasa lawatan November lalu ke sebuah pusat tahanan di Arbil, tempat 63 kanak-kanak ditahan.

Seorang pegawai Kurdi menolak dakwaan-dakwaan itu.

Penasihat ehwal antarabangsa pemerintah Kurdi, Dindar Zebari memberitahu AFP bahawa "HRW tidak pernah melawat" pusat tahanan itu.

"Tiada sesiapa boleh ditangkap melainkan badan kehakiman membenarkannya. Sesiapa yang ditangkap akan menjalani proses undang-undang sewajarnya," katanya sambil menambah bahawa pemerintah Kurdi menolak penggunaan penyeksaan.

Menurut HRW, kebanyakan budak lelaki berkata, semasa disoal siasat mereka diberitahu apa yang harus diakui dan ramai berkata, mereka membuat pengakuan palsu semata-mata untuk menghentikan penyeksaan.

"Saya membuat pengakuan menyertai ISIS selama 16 hari, tetapi sebenarnya saya tidak menganggotainya langsung," seorang remaja 16 tahun memberitahu HRW.

Seorang lagi remaja lelaki 14 tahun berkata: "Pertama, mereka berkata saya mesti katakan saya bersama ISIS, dan saya setuju. Kemudian mereka menyuruh saya untuk mengatakan saya bekerja untuk ISIS selama tiga bulan. Saya kata pada mereka saya bukan sebahagian daripada ISIS, tetapi mereka mendesak, 'Tidak, kamu mesti katannya'."

Budak itu berkata selepas dua jam disoal siasat dan diseksa, beliau bersetuju dengan tuntutan mereka. 

- AFP/EM/tq

Top