Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak alami ruam, jatuh sakit selepas minum susu tiruan

Ibu bapa yang memberi anak-anak mereka susu rumusan bayi yang disyaki tiruan, tampil ke depan untuk berkongsi pengalaman mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak alami ruam, jatuh sakit selepas minum susu tiruan

Seorang bayi alami ruam di bahagian perutnya setelah meminum susu tiruan. (Gambar: Seila Nawi/ Facebook)

Diterbitkan : 14 Dec 2017 08:46AM Dikemas Kini : 14 Dec 2017 09:30AM

SINGAPURA: Ibu bapa yang memberi anak-anak mereka susu rumusan bayi yang disyaki tiruan, tampil ke depan untuk berkongsi pengalaman mereka.

Menurut seorang bapa kepada anak perempuan berusia 10 bulan, anaknya mengalami ruam dan demam setelah meminum susu yang dipercayai produk tiruan. Demikian menurut agensi berita New Straits Times semalam (13 Dis).

"Ada tompok-tompok merah pada seluruh badan, muka, tangan dan belakang tubuhnya," kata pereka grafik berusia 33 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Koh.

Menurut Encik Koh, beliau dan isterinya berasa bimbang setelah membaca berita tentang susu rumusan bayi yang disyaki tiruan.

Lebih 200 kotak susu rumusan bayi tiruan jenama Enfalac A+ Step 1 dirampas pihak berkuasa Malaysia pada minggu lalu (10 Dis).

Pengilang Mead Johnson kemudian mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan para pembeli cara-cara mengenal pasti bungkusan susu tepung tiruan.

"Kami sudah lama menggunakan jenama ini dan kini kami tertanya-tanya sama ada selama ini kami sudah memberi anak kami versi tiruan susu tersebut," kata Encik Koh. Beliau kemudian menyedari bahawa bungkusan susu tiruan ternyata sama dengan bungkusan susu yang dibeli.

Seorang lagi ibu, Selia Nawi menulis dalam catatan di Facebook bahawa anaknya dimasukkan ke hospital selama dua minggu pada bulan Oktober setelah anaknya "berubah menjadi merah dan jatuh sakit".

"Mikael mengalami cirit birit buat 11 kali dalam satu hari.

"Dia juga muntah sehingga sembilan kali. Saya tidak boleh mengendahkan isu ini bukan?" kata Cik Selia dalam catatan Facebooknya.

Menurut Cik Selia, ketika anaknya berada di hospital, terdapat darah pada najis anaknya.

Encik Koh turut menambah bahawa anak perempuannya dimasukkan ke hospital buat beberapa hari pada bulan September setelah mengalami demam panas.

Sebelum insiden tersebut, Encik Koh memberi anaknya susu rumusan bayi yang dibeli daripada "kedai-kedai yang bereputasi baik di Singapura", demikian menurut New Straits Times.

"Hanya bermula dari usia (anak saya) empat bulan, saya mula membeli susu dari kedai perubatan cina memandangkan harganya lebih rendah berbanding dengan susu yang dijual di pasar raya," kata Encik Koh.

Encik Koh percaya anaknya kini berdepan dengan masalah kesihatan kerana sudah lama meminum rumusan susu bayi tiruan.

Walau bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak menyalahkan mana-mana syarikat dan berharap ibu bapa lebih berhati-hati apabila membeli susu rumusan bayi.

"Saya bukan ingin menuding jari ke arah mana-mana syarikat atau peruncit. Ia merupakan syarikat berprestasi baik dan dinyatakan jenama yang baik untuk bayi-bayi," kata Encik Koh yang turut mengatakan bahawa beliau mungkin akan membuat aduan kepada pihak berkuasa.

PIHAK BERKUASA BERI RESPONS

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengarahkan agar susu tepung tiruan ditarik balik.

Menteri Hamzah Zainuddin berkata bahawa kementeriannya kini sedang menunggu hasil ujian yang dijalankan ke atas susu tepung yang dirampas sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya berharap laporan akan segera dikeluarkan. Kami harus menunggu dan hanya mengambil tindakan selepas ia disahkan.

"Kami juga akan berunding dengan kementerian kesihatan, yang bertanggungjawab kerana meluluskan penjualan susu tersebut," katanya dalam satu sidang media semalam (13 Dis).

Encik Hamzah juga mempersoalkan mengapa serbuan lambat dijalankan sedangkan kementerian itu sudah menerima aduan sejak 14 Oktober.

Menurut Encik Hamzah lagi, siasatan harus dilakukan oleh pihak kementerian dan Mead Johnson Malaysia sebelum serbuan dapat dilakukan.

Beliau menasihati ibu bapa agar berhati-hati ketika membeli susu rumusan bayi dan hanya membeli produk-produk seperti itu di cawangan-cawangan yang diyakini.

Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada hari Isnin (11 Dis) meyatakan bahawa semua sampel susu tepung yang diuji AVA memenuhi piawai keselamatan dan syarat-syarat keselamatan makanan. Ia juga akan terus memantau produk-produk yang diimport ke Singapura. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan