Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak 7 tahun maut akibat banjir di pantai timur M'sia

Banjir yang semakin buruk di Kelantan dan Kuala Terengganu meragut nyawa mangsa pertama - seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun - sedang jumlah penduduk yang dipindahkan naik secara mendadak semalaman.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 7 tahun maut akibat banjir di pantai timur M'sia

Keadaan banjir semakin buruk di Terengganu dengan jumlah penduduk yang dipindah meningkat. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 Dec 2019 01:54PM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 01:56PM

KOTA BHARU, Kelantan: Banjir yang semakin buruk di Kelantan dan Kuala Terengganu meragut nyawa mangsa pertama - seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun - sedang jumlah penduduk yang dipindahkan naik secara mendadak semalaman.

Mohammad Ilham Hasmadi ditemui di sebuah sawah padi yang dibanjiri di Pasir Puteh di Kelantan hari ini (2 Dis).

Beliau dipercayai mengikuti bapa saudaranya ke saluran pengairan di Felcra Teratak Batu pada petang Ahad (1 Dis) untuk memancing apabila beliau tergelincir daripada jambatan dan terjatuh ke dalam terusan yang dilimpahi air.

Ketua polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata para anggota pasukan mencari dan menyelamat menemui jasad Mohammad Ilham pada pagi Isnin (2 Dis), sekitar 400 meter daripada tempat beliau dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam terusan.

Tahap amaran warna merah dikeluarkan pada Ahad bagi ketujuh-tujuh daerah di Kelantan termasuk ibu kota Kota Bharu serta dua daerah di Terengganu, menurut Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (MetMalaysia).

Tahap amaran merah dikeluarkan apabila paras hujan diramalkan melebihi 240 milimeter sehari.

Sebanyak 55 pusat perlindungan di Terengganu dibuka awal hari ini bagi menampung lebih ramai penduduk, membawa kepada 121 pusat pemindahan banjir yang dibuka keseluruhannya sejak banjir melanda negeri itu.

TERPAKSA BERTEDUH DALAM KENDERAAN DAN HOTEL MURAH

Para mangsa yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka dinaiki air di Terengganu menyusuli hujan lebat pada malam Sabtu (30 Nov) terpaksa berteduh dalam kereta dan hotel-hotel murah sementara menanti pusat-pusat pemindahan dibuka pada Ahad.

"Apabila air banjir melimpah masuk ke dalam rumah, saya memutuskan untuk membawa anak-anak keluar daripada rumah dan tinggal dalam hotel murah buat sementara waktu kerana saya tidak tahu di mana pusat perlindungan yang terdekat dan kami baru sahaja berpindah ke pusat itu pagi ini," kata Cik Normadiah Mat Jusoh, 45 tahun yang membawa tujuh orang anaknya yang berusia antara lima dengan 21 tahun ke hotel bajet berdekatan setelah rumah mereka dimasuki air.

"Bukan saya sahaja, kebanyakan jiran saya juga tinggal di hotel murah dan ada yang tinggal dalam kenderaan mereka sebelum bergerak ke pusat perlindungan pagi tadi."

Beberapa penduduk kampung di Kampung Nyatoh, Setiu memberitahu Bernama bahawa mereka membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi mengekang kebanjiran dengan menaikkan rumah mereka sehingga dua meter, tetapi tidak berhasil.

"Saya fikir setelah membelanjakan RM30,000 (S$9,800) untuk menaikkan ketinggian rumah saya tidak perlu lagi berpindah tetapi air banjir tetap memasuki rumah dan saya perlu berpindah ke pusat perlindungan," kata Cik Mariam Sulong, 63 tahun.

"Setelah banjir buruk yang melanda pada 2013, saya perlu bersiap sedia dan meletakkan barangan peribadi di tempat yang lebih tinggi dan selamat."

PELANCONG M'SIA TERKANDAS

Kira-kira 30 pelancong Malaysia terkandas di Kampung Pasir Dula, Kuala Berang sedang banjir setinggi satu meter di beberapa kawasan di Hulu Terengganu menyebabkan laluan jalan raya utama terhalang.

Kumpulan itu yang terdiri daripada lima buah keluarga, berteduh dalam sebuah masjid di daerah itu.

Encik Shaarani Ismail, 40 tahun sedang bercuti bersama isteri dan empat orang anaknya berkata keluarga mereka sudah lama menantikan lawatan ke kawasan pantai timur.

"Saya bekerja di Terengganu 10 tahun lalu sebelum berpindah ke Perak. Saya fikir percutian ini percutian ini adalah peluang yang baik untuk melawat bekas pengasuh anak-anak kami," katanya.

Encik Shaarani berasa lega apabila Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) membantu keluarga itu mendapatkan perlindungan di salah sebuah rumah penduduk kampung.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lima sungai di tiga daerah mencatat paras bacaan melebihi paras berbahaya pada pukul 7 pagi hari ini.

Di Pahang, keadaan banjir kekal sama dengan tiga orang masih berteduh di pusat perlindungan di Rompin.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan