Images
  • budak mati lemas
    Kanak-kanak perempuan lima tahun ditemui terapung dalam lubang kumbahan pada 9 Okt 2019. (Gambar: BERNAMA)

Kanak-kanak 5 tahun mati lemas terjatuh dalam lubang kumbahan ketika bermain

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mati lemas selepas disyaki terjatuh ke dalam lubang kumbahan semasa bermain di rumah neneknya dekat Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan, pada Rabu (9 Okt).

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mayat Nur Ariesha Abdul Rahman dijumpai dalam keadaan terapung selepas penduduk di kawasan tersebut mencari mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain pada 5.00 petang. 

Mangsa, anak ketiga daripada empat beradik, dikatakan keluar bersama dua abangnya - berusia tujuh dan lapan tahun - untuk ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka. 

"Pencarian menemui mangsa sekitar 8.00 malam apabila penduduk memeriksa lubang kumbahan itu yang berada dalam keadaan terbuka. 

"Siasatan awal mendapati salah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang turut bermain dengan mangsa telah membuka lubang kumbahan itu sebelum penutupnya terjatuh dan tenggelam ke dasar," ACP Mohamad Noor memberitahu wartawan pada Khamis (10 Okt).

Beliau berkata rakan sepermainan mangsa meninggalkan kawasan itu dalam keadaan lubang kumbahan tersebut terbuka tanpa menyedari mangsa berada dalam kalangan mereka dan kembali untuk bermain di kawasan lain sebelum pulang. 

Kehilangan mangsa hanya disedari oleh abangnya selepas tiba di rumah. Perkara itu menyebabkan ibu mangsa meminta pertolongan jiran untuk mencari dan menghebahkan kehilangan anak perempuannya itu di laman sosial. 

Ibu mangsa, yang menjual kuih berhampiran rumah, dilihat ditenangkan oleh anggota keluarga semasa menuntut jenazah mangsa pada siang hari Khamis. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top