Images
  • Muhammad Adib Ashraf meninggal (1)
    Muhammad Adib Ashraf meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan dua motosikal. (Gambar: Astro Awani)

Kanak-kanak 10 tahun maut dirempuh 2 motosikal

KEMAMAN: Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Chukai maut selepas basikal yang dikayuhnya dirempuh dua motosikal.

Menurut laporan Astro Awani, kemalangan berlaku di kilometer satu, Jalan Chukai-Air Putih berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), pada kira-kira jam 8.00 malam semalam (19 Jan).

Mangsa, Muhammad Adib Ashraf, 10 tahun, dari Taman Seri Pauh menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Kemaman.

Anak sulung tiga beradik itu dikatakan sedang berbasikal melintas jalan untuk pulang ke rumah selepas meminjam buku teks kawan sekelasnya di Kampung Gong Limau, lapor Astro Awani.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila dua motosikal masing-masing jenis Honda EX5 yang ditunggangi remaja lelaki berusia 16 tahun dan motosikal Yamaha 125-Z yang ditunggang pemuda berumur 25 tahun gagal menggelak lalu melanggar mangsa yang sedang menyeberangi jalan.

Menurut Astro Awani lagi, mangsa kemudian tercampak ke atas jalan. Beliau mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Dua penunggang motosikal berkenaan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama. Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jenazah mangsa dituntut keluarga pada sekitar jam 12.10 tengah malam semalam untuk dikebumikan. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top