Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kampung di Sabah mahu jadi contoh kehidupan harmoni bersama Gajah Borneo

Insiden gajah Borneo masuk ke Kampung Sukau bukan perkara baru, malah masyarakat kampung menganggap ia sebagai satu rutin untuk mereka mengusir haiwan liar itu yang muncul untuk mencari makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kampung di Sabah mahu jadi contoh kehidupan harmoni bersama Gajah Borneo

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Nov 2019 02:18PM Dikemas Kini : 07 Nov 2019 02:22PM

KOTA KINABALU: Insiden gajah Borneo masuk ke Kampung Sukau bukan perkara baru, malah masyarakat kampung menganggap ia sebagai satu rutin untuk mereka mengusir haiwan liar itu yang muncul untuk mencari makanan.

Kampung Sukau terletak di hilir Kinabatangan, kira-kira 380 kilometer dari Kota Kinabalu. Meskipun kawasan hutan berhampiran kampung ini sememangnya habitat semula jadi gajah Borneo, namun ada bahagian yang sudah diterokai untuk dijadikan ladang kelapa sawit.

Justeru tidak hairanlah jika ada gajah liar yang merayau-rayau hingga masuk ke dalam kampung yang penduduknya, kebanyakan dari suku kaum Sungai, untuk kelangsungan hidup.

PERTEMBUNGAN MANUSIA DAN GAJAH

Di sekitar hutan Kampung Sukau yang juga terdapat santuari hidupan liar, dianggarkan terdapat antara 250 hingga 300 ekor gajah Borneo.

Antaranya ialah kisah yang dikongsi Encik Shafie Abdul Karim, 33, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak kelahiran Kampung Sukau.

Beliau berdepan detik cemas itu apabila seekor gajah jantan liar yang terlepas masuk ke dalam kebun kelapa sawit bapanya pada suatu malam awal 2018 sekitar pukul 8:30 malam, dengan tiba-tiba mahu menyerang beliau.

BAGAI DETIK TERAKHIR

Kejadian itu sememangnya memberi kesan mendalam terhadap diri Encik Shafie kerana beliau lungsung tidak pernah menyangka akan menghadapi situasi secemas itu.

Perasaan trauma terhadap haiwan liar itu juga masih menebal dalam dirinya sehingga ke hari ini meskipun beliau pernah bertembung beberapa kali dengan gajah liar sebelum ini.

TANAMAN PENDUDUK MUSNAH

Sementara itu, Ketua Kampung Menanggol, Sukau, Encik Ibnoh Kiju berkata, penduduk kampung sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan kehadiran gajah.

Cuma apa yang menjadi kerisauan mereka apabila tanaman pertanian termasuk kebun kelapa sawit musnah akibat dimakan oleh haiwan tersebut.

Menurut beliau, penduduk kampung mengeluarkan modal besar sehingga mencecah ribuan ringgit bagi menanam dan menguruskan pertanian mereka, tetapi dengan sekelip mata, terpaksa menanggung kerugian kerana kerosakan pagar dan juga tidak memperoleh hasil tanaman.

“Kos membuat pagar dan peralatannya memang mahal dan boleh menjangkau sehingga RM4,000 (S$1,312). Belum lagi kerugian tanaman. Sekarang ini, satu anak pokok kelapa sawit dianggarkan RM16 (S$5.25). Bayangkan kalau tanaman seluas tiga hingga lima ekar dimakan oleh gajah.

“Ia jumlah yang besar bagi penduduk kampung yang hanya menjalankan aktiviti pertanian. Mereka tidak ada modal pusingan sebab tidak dapat hasil akibat kerugian,” katanya, dan menambah, 80 peratus daripada penduduk di kampung itu adalah pekebun kecil yang mengusahakan kelapa sawit dan buah-buahan.

SITUASI MENANG-MENANG

Encik Ibnoh juga tidak menafikan, di sebalik berdepan dengan ancaman gajah liar, haiwan itu juga menjadi antara nilai tarikan pelancong tempatan dan luar negara yang berkunjung ke kampung itu.

Sektor pelancongan juga merupakan antara sumber pendapatan penduduk setempat.

Bagaimanapun, Encik Ibnoh berkata, selain jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan berkaitan, penggiat pelancongan di situ juga diharap dapat memberi kerjasama kepada penduduk kampung dengan memberi bantuan menyediakan peralatan pagar bagi meringankan beban pekebun khususnya yang tanaman mereka dirosakkan gajah liar itu.

Encik Ibnoh turut optimis kawasan kampung dan sekitarnya mampu menjadi contoh dalam aspek hidup berharmoni dengan hidupan liar seperti gajah, sekiranya semua pihak berganding bahu dan mencapai kesepakatan selain mewujudkan situasi menang-menang dalam usaha menangani konflik manusia dan gajah. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan