Images
  • Rohingya refugees
    Pelarian di Cox's Bazar pada 21 Januari 2018. (Gambar: Mohammad Ponir Hossain/ Reuters)

Kampung di Rakhine terbakar jelang kepulangan Rohingya, kata pegawai

COX'S BAZAR, BANGLADESH: Para pegawai Bangladesh hari ini (23 Jan) menyatakan satu kebakaran besar tercetus dan tembakan kedengaran di sebuah kampung di seberang sempadan dengan Rakhine, di mana pihak berkuasa sedang menguruskan untuk menghantar pulang para pelarian Rohingya.

"Kebakaran besar" itu dilihat marak lewat Isnin (22 Jan) di sebuah kampung terbiar di Tombru, seorang pengawal sempadan Bangladesh yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu AFP.

Kebakaran itu berlaku pada sebelah malam sebelum Bangladesh dijadual memulakan program menghantar pulang ratusan ribu pelarian Rohingya ke wilayah Rakhine di bawah perjanjian baru dengan Myanmar.

Proses penghantaran pulang itu dijadual bermula hari ini (23 Jan) selama dua tahun, namun ia ditangguhkan selepas Bangladesh mengakui kedua-dua pihak masih belum bersediauntuk mengendalikan jumlah pelarian yang ramai.

Rumah-rumah yang terbakar semalaman itu dipercayai milik etnik Rohingya, menurut pegawai berkenaan.

Kawasan sempadan itu dikawal oleh pasukan tentera Myanmar, tambah beliau.

Seorang lagi pegawai memberitahu AFP beliau terdengar beberapa bunyi tembakan sebelum api dilihat meluap-luap dari kampung itu.

Sekalipun begitu, tidak mungkin maklumat tersebut dapat disahkan memandangkan Myanmar sudah menyekat akses ke kawasan itu.

Abdul Naser, 42 tahum seorang pelarian Rohingya yang tinggal dekat sempadan itu menyifatkan keadaan di sana sebagai "kebakaran dan kepulan asap".

"Mereka cuba menghantar mesej kepada kami, menakutkan kami supaya kami tidak pulang," beliau memberitahu AFP, merujuk kepada tentera Myanmar.

Gambar-gambar kebakaran itu dengan cepat tersebar dalam kalangan pelarian Rohingya di Bangladesh menerusi media sosial, dengan ramai yang menyalahkan pasukan keselamatan Myanmar.

"Kebakaran itu bertujuan menghapuskan saki baki rumah-rumah Rohingya supaya tiada di antara kami yang boleh pulang ke kampung," kata Rafique bin Habib, seorang aktivis Rohingya.

Menurut beliau, tanpa tempat tinggal, penduduk Rohinya yang pulang di bawah perjanjian berkontroversi itu tidak akan dibenarkan pulang ke tanah keluarga mereka dan dipaksa tinggal di kem-kem pelarian.

Hampir 690,000 Muslim Rohingya melarikan diri dari wilayah Rakhine menerusi sempadan ke Bangladesh sejak bulan Ogos setelah tercetus kempen tentera menentang Muslim minoriti di sana.

Kumpulan-kumpulan hak kemanusiaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ({BB) menyatakan sebarang penghantaran pulang mesti dilakukan secara sukarela.

Kebanyakan pelarian menentang keputusan dihantar pulang kerana takut diseksa lagi dan ditempatkan di kem-kem bagi jangka masa yang tidak tetap.

- Reuters/NK/nk

Top