Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Kami bukan pengkhianat', kata Azmin Ali dan ahli parlimen selepas keluar dari PKR

Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar daripada parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gabungan baru, menegaskan mereka bukan pengkhianat yang berpaling tadah terhadap gabungan kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Kami bukan pengkhianat', kata Azmin Ali dan ahli parlimen selepas keluar dari PKR

(Gambar: Malaysiakini)

Diterbitkan : 25 Feb 2020 08:05AM Dikemas Kini : 25 Feb 2020 08:09AM

KUALA LUMPUR: Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar daripada parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gabungan baru, menegaskan mereka bukan pengkhianat yang berpaling tadah terhadap gabungan kerajaan.

Sebaliknya, kumpulan itu mendakwa pihak yang berusaha mengubah Perdana Menteri di tengah-tengah penggal adalah pengkhianat sebenar kerana mementingkan kuasa berbanding melaksanakan dasar kerajaan, lapor BH Online.

Dalam satu kenyataan bersama yang diketuai Encik Mohamed Azmin Ali, tindakan mereka adalah perlu bagi menggagalkan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di tengah-tengah penggal.

Kumpulan itu percaya, peralihan kuasa sedemikian akan menggugat kesinambungan dasar dan persepsi rakyat terhadap PH, manakala kempen menyingkirkan Dr Mahathir pula menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH.

BH Online menukil beliau sebagai berkata, “Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck" (Perdana Menteri tanpa kuasa).

“Justeru itu, kami mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan konspirasi bagi menjatuhkan Perdana Menteri di tengah-tengah penggal.

“Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar kerajaan bertujuan meningkat tahap sosio-ekonomi rakyat seperti yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Usaha kami terbukti benar apabila pihak tersebut kini sedar kesalahan mereka, berdasarkan kenyataan mereka menyokong Dr Mahathir meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.” kata kenyataan pada Isnin (24 Feb).

Selain Encik Mohamed Azmin, turut dinamakan dalam kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu ialah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Terdahulu, semua 11 Ahli Parlimen itu mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Damansara di sini, dipercayai bagi membincangkan percaturan seterusnya, termasuk kemungkinan menubuhkan parti baharu.

Mereka turut dipercayai membincangkan langkah susulan mereka selepas Dr Mahathir yang meletakkan jawatan tengah hari Isnin dilantik sebagai Perdana Menteri interim.

Sumber : Agensi berita/CNA/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan