Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kalau menang di Semenyih, satu sen gaji saya tak ambil, kata Uncle Kentang

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang' sudah melahirkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor yang bakal diadakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kalau menang di Semenyih, satu sen gaji saya tak ambil, kata Uncle Kentang

Pengasas Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia (COP), Kuan Chee Heng. (Gambar: Kuan Chee Heng/Facebook)

Diterbitkan : 06 Feb 2019 08:42AM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 09:02AM

SEMENYIH: Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang' sudah melahirkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor yang bakal diadakan.

Pengasas Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia (COP) itu memberitahu Malaysiakini bahawa beliau membuat keputusan berkenaan bukan untuk menjadi popular, namun sebaliknya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Akhbar New Straits Times pula menukil Encik Kuan sebagai berkata, beliau ingin para pengundi diwakili oleh seseorang yang bekerja keras yang berupaya menyediakan mereka dengan khidmat-khidmat asas.

"Saya lihat bahawa penduduk Semenyih memerlukan khidmat asas seperti khidmat teksi, van dan ambulans 10 sen sahaja, kerana lokasi ini terletak jauh dari Hospital Kajang.

"Buat masa ini, tiada bas di Semenyih yang membawa para penduduk dari kampung ke hospital. Saya rasa kita perlu membantu penduduk Semenyih," katanya seperti yang dipetik oleh New Straits Times.

Encik Kuan digelar sebagai 'Uncle Kentang' atas baik budinya mengagih-agihkan ketang bagi membantu memberi makanan kepada golongan kurang berkemampuan.

Beliau juga dikenali sebagai 'lelaki 10 sen' kerana menyediakan khidmat seperti pasar lambak serta khidmat ambulans dan teksi kepada golongan miskin pada harga 10 sen sahaja, lapor New Straits Times.

Semasa mengumumkan keputusannya untuk bertanding, Encik Kuan turut menyatakan kekecewaan terhadap para pemimpin politik hari ini yang lebih "mengubah nasib diri sendiri" dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

Memberi respons kepada Malaysiakini, beliau berkata: "Hidup kita sekejap sahaja, lepas ini saya akan mati, itu pasti. Tapi sebelum itu saya mahu berkhidmat untuk rakyat kawasan Semenyih.

"Saya bertanding untuk anak-anak Semenyih, mereka masih memerlukan pembelaan. Saya mahu lakukan apa yang saya buat di Puchong untuk penduduk Semenyih.

"Kalau saya menang, satu sen gaji (sebagai wakil rakyat) tidak akan saya ambil. Itu gaji (milik) rakyat, gaji saya Tuhan akan bayar."

Encik Kuan memberitahu Malaysiakini bahawa apa yang dilakukan beliau nanti adalah mengikut cara Islam dan akan terus berkhidmat kepada masyarakat selagi hayat dikandung badan.

"Kalau ikut cara Islam, semua akan selamat. Islam ini untuk semua. Apa yang saya lakukan adalah mengikut cara Islam.

"Saya mahu apa yang saya lakukan ini menjadi contoh kepada pemimpin politik tanpa mengira mana-mana parti yang penting rakyat senang," katanya.

PRK Semenyih diadakan menyusuli pemergian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, baru-baru ini. Allahyarham merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Selain Pakatan Harapan (PH) dan BN, S Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga dijangka sekali lagi bertanding untuk merebut kerusi tersebut. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan