Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kakitangan hospital berganti-ganti lakukan CPR selama 5 jam untuk selamatkan kanak-kanak

 Para kakitangan perubatan dari Hospital Kanak-Kanak Changzhou berusaha sedaya upaya selama lebih lima jam untuk menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun selepas jantungnya berhenti.

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan hospital berganti-ganti lakukan CPR selama 5 jam untuk selamatkan kanak-kanak

Kakitangan perubatan berusaha sedaya upaya selama lebih lima jam untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun. (Gambar: Hospital Kanak-Kanak Changzhou)

Diterbitkan : 27 Sep 2018 10:30PM Dikemas Kini : 27 Sep 2018 10:34PM

JIANGSU: Para kakitangan perubatan dari Hospital Kanak-Kanak Changzhou berusaha sedaya upaya selama lebih lima jam untuk menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun selepas jantungnya berhenti.

Kanak-kanak lelaki bernama Xiao Yu, dimasukkan ke dalam Unit Jagaan Rapi hospital berkenaan pada petang Khamis lalu (20 Sep) kerana mengalami miokarditis fulminan, iaitu keradangan melibatkan tisu otot jantungnya. Demikian menurut hospital itu dalam satu kenyataan media.

Keadaan Xiao Yu bertambah baik setelah menerima rawatan, tetapi dengan cepat bertukar buruk pada keesokan paginya menyebabkan beliau mengalami serangan jantung.

Pasukan perubatan berjaya menyelamatkannya, namun para doktor memutuskan bahawa Xiao Yu memerlukan rawatan pengoksigenan membran ekstrakorporeum (ECMO).

Rawatan itu bagaimanapun memerlukan alat bantuan pernafasan khas dari sebuah hospital di Shanghai yang berupaya membantu meningkatkan oksigen dalam darahnya.

Semasa menunggu ketibaan pasukan dari Shanghai, tekanan darah tingginya menjunam, menyebabkan jantung Xiao Yu berhenti dan beliau juga berhenti bernafas.

Para kakitangan hospital pantas bertindak dengan "setiap individu bergilir-gilir tanpa henti" melakukan CPR, menurut hospital itu.

Sekitar 30 kakitangan perubatan dikerahkan bagi melakukan rawatan CPR dan menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

Mereka berganti-ganti melakukan CPR selama sekitar dua minit setiap seorang, selama lebih lima jam sebelum pasukan dari hospital Shanghai tiba di hospital tersebut.

"Setipis mana pun harapan, kami harus berusaha dan melakukan sedaya upaya," kata Lee Ya Min, Timbalan Ketua Unit Jagaan Rapi Pediatrik hospital itu.

Pada keesokan hari, bapa Xiao Yu mengirimkan mesej kepada rakan-rakan beliau dan meminta mereka supaya menyampaikan mesej itu kepada para kakitangan hospital itu.

Dalam mesej yang ditulis oleh Xiao Yu itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan perubatan di hospital itu atas bantuan mereka.

"Terima kasih atas kekuatan anda. Saya ingin kembali untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu saya," kata beliau. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan