Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kajian Perancis dapati vaksin berupaya cegah COVID-19 teruk termasuk varian Delta

Vaksinasi sangat berkesan dalam mencegah jangkitan teruk COVID-19 bahkan terhadap varian Delta, menurut satu kajian menyeluruh di Perancis.

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian Perancis dapati vaksin berupaya cegah COVID-19 teruk termasuk varian Delta

Seorang pekerja kesihatan memegang dulang-dulang vaksin COVID-19 di Bandar Quezon, Filipina, pada 13 Sep 2021. (Gambar hiasan: AP)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 07:04PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 07:06PM

PARIS: Vaksinasi sangat berkesan dalam mencegah jangkitan teruk COVID-19 bahkan terhadap varian Delta, menurut satu kajian menyeluruh di Perancis.

Hasil kajian yang diterbitkan pada Isnin (11 Okt) - yang menumpukan perhatian kepada usaha mencegah COVID-19 yang teruk dan kematian, bukan jangkitan - meninjau 22 juta orang berusia 50 tahun ke atas dan mendapati mereka yang sudah lengkap divaksin adalah 90 peratus kurang berkemungkinan dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia.

Hasil tinjauan itu mengesahkan pemerhatian oleh Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel, tetapi para penyelidik berpendapat bahawa kajian tersebut adalah yang terbesar sejauh ini.

Ketika menyemak data yang dikumpulkan sejak Disember 2020, semasa Perancis melancarkan kempen vaksinasinya, para penyelidik membandingkan hasil 11 juta orang yang divaksin dengan 11 juta individu yang tidak divaksin.

Bermula 14 hari selepas dos kedua, risiko individu yang sudah divaksin terkena COVID-19 teruk menjunam 90 peratus, menurut kajian yang dijalankan oleh Epi-Phare, sebuah kumpulan penyelidikan bebas yang bekerjasama dengan pemerintah Perancis.

Vaksinasi nampaknya hampir sama berkesan melawan varian Delta, dengan perlindungan 84 peratus bagi mereka yang berusia 75 tahun dan ke atas dan 92 peratus untuk individu berusia 50 hingga 75 tahun.

Anggaran itu bagaimanapun hanya berdasarkan sebulan data, memandangkan varian Delta hanya menjadi varian yang dominan di Perancis pada Jun.

"Satu kajian susulan patut dijalankan untuk merangkumi hasil tinjauan dari Ogos hingga September," kata pakar epidemiologi Mahmoud Zureik, ketua Epi-Phare, kepada AFP.

Kajian itu merangkumi vaksinasi dengan suntikan vaksin Pfizer-BioNtech, Moderna dan AstraZeneca, tetapi bukan Jannsen yang diluluskan penggunaannya lebih lama kemudian dan lebih jarang digunakan di Perancis.

Hasilnya juga menunjukkan bahawa sepanjang tempoh kajian - sehingga lima bulan - perlindungan vaksinasi terhadap COVID-19 yang teruk tidak merosot.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan