Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kajian dapati vaksin AstraZeneca, Pfizer berkesan lawan varian Delta

Vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh perikatan AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech masih berkesan melawan varian Delta dan Kappa, yang pertama kali dikesan di India, menurut satu kajian saintifik, menyokong dorongan untuk terus menghasilkan kedua-dua vaksin itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian dapati vaksin AstraZeneca, Pfizer berkesan lawan varian Delta

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Jun 2021 08:40PM Dikemas Kini : 24 Jun 2021 08:41PM

LONDON: Vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh perikatan AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech masih berkesan melawan varian Delta dan Kappa, yang pertama kali dikesan di India, menurut satu kajian saintifik, menyokong dorongan untuk terus menghasilkan kedua-dua vaksin itu.

Kajian yang dijalankan oleh para pengkaji dari Universiti Oxford yang diterbitkan dalam jurnal Cell, menyiasat keupayaan antibodi dalam darah beberapa individu yang disuntik dua dos vaksin tersebut, untuk meneutralkan varian Delta dan Kappa yang sangat mudah berjangkit, menurut kenyataan tersebut.

"Tiada bukti berlaku penularan meluas yang menggambarkan bahawa generasi vaksin terkini boleh menawarkan perlindungan daripada virus varian B.1.617," menurut kertas kajian itu yang merujuk kepada varian Delta dan Kappa melalui kod yang lazim digunakan.

Bagaimanapun, kepekatan antibodi peneutralan dalam darah agak berkurangan yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan.

Pada minggu lalu, analisa oleh Kesihatan Awam England (PHE) menunjukkan bahawa vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer dan AstraZeneca menawarkan tahap perlindungan yang tinggi melebihi 90 peratus daripada dimasukkan ke hospital disebabkan oleh jangkitan varian Delta.

"Kami berasa terdorong melihat keputusan yang diterbitkan oleh Oxford dan data tersebut serta analisa sebenar baru-baru ini oleh Kesihatan Awam England, memberikan kami petunjuk positif bahawa vaksin kami boleh membawa kesan ketara terhadap varian Delta," kata eksekutif AstraZeneca Mene Panglos dalam satu kenyataan berasingan.

Varian Delta semakin lebih dominan di merata dunia, kata ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat (18 Jun).

Para pangkaji Oxford juga menyelidik kemungkinan berlaku jangkitan semula dalam kalangan individu yang dijangkiti COVID-19 sebelum ini.

Melihat kepada keupayaan antibodi dalam sampel darah mereka untuk meneutralkan varian itu, risiko berlaku jangkitan semula dengan varian Delta kelihatan agak tinggi dalam kalangan individu yang sebelum ini dijangkiti dengan virus COVID-19 varian Beta dan Gamma yang masing-masing dikesan di Afrika Selatan dan Brazil.

Sebaliknya pula, mereka yang dijangkiti varian Alpha atau B117, varian pertama yang dikesan di Britain, menawarkan perlindungan lebih baik terhadap segala varian yang menjadi keprihatinan, menjadikannya sebagai contoh bagi penghasilan vaksin generasi seterusnya.

"B117 mungkin adalah calon bagi vaksin varian baru untuk menawarkan perlindungan paling meluas," menurut para pengkaji.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan