Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kafe di Kuantan ini tawar barangan keperluan percuma bagi individu memerlukan

Melihat ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19 menyebabkan pengusaha sebuah kafe 'hipster' terpanggil untuk menyediakan barangan keperluan bagi memastikan tiada yang perlu tidur dalam kelaparan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kafe di Kuantan ini tawar barangan keperluan percuma bagi individu memerlukan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Feb 2021 06:37PM Dikemas Kini : 01 Feb 2021 06:44PM

KUANTAN: Melihat ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19 menyebabkan pengusaha sebuah kafe 'hipster' terpanggil untuk menyediakan barangan keperluan bagi memastikan tiada yang perlu tidur dalam kelaparan.

Encik Ahmad Dainey Zainuddin, 37 tahun, berkata, beliau memperuntukkan sedikit ruang di hadapan kafe yang terletak di Jalan Besar untuk meletakkan barangan tersebut supaya mudah diambil oleh mereka yang memerlukan.

Inisiatif itu, menurut Encik Ahmad Dainey bermula sebaik sahaja Pahang kembali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 22 Jan, dan beliau bersama rakan niaganya Encik Md Syukri Maskur, 38 tahun, tidak menyangka inisiatif itu menerima sambutan sangat baik.

“Kami bermula dengan modal permulaan sebanyak RM200 (S$66) untuk membeli barangan keperluan asas dan barangan penjagaan diri, yang difikirkan agak membebankan kepada mereka yang tersekat punca pendapatan. 

“Sejak dimulakan, saya lihat barangan seperti beras, tepung, minyak masak, makanan kering, lampin pakai buang dan tuala wanita, antara barangan yang paling banyak diambil,” katanya kepada Bernama hari ini.

Encik Ahmad Dainey menambah, inisiatif itu tercetus selepas memikirkan terdapat banyak premis perniagaan berhampiran disewakan kepada mereka yang bekerja gaji harian, dengan ada sebilangan mereka mengadu diberhentikan kerja dalam situasi sekarang.

Bapa kepada sepasang cahaya mata berusia 11 dan lapan tahun itu mengakui ada masanya, mereka 'berjumpa' penerima berulang, namun beliau mengingatkan kakitangan di kafe tersebut untuk tidak menyoal individu tersebut.

“Saya sering berpesan supaya memudahkan urusan mereka yang datang... jika mereka tidak terdesak, sudah tentu mereka tidak ke sini. Malah ada yang menunggang motosikal sejauh lebih 10 kilometer bersama anak kecil, dalam cuaca hujan.

“Ada juga yang kelihatan malu-malu untuk masuk, namun kami cuba membuat keadaan seselesa mungkin. Tiada jumlah barangan yang ditetapkan, sebaliknya ambil sahaja sebanyak mana yang diperlukan, kerana kita tidak tahu apa yang dilalui mereka,” katanya.

Memandangkan konsep kafe yang dijalankan lebih dekat dengan golongan muda, Encik Ahmad Dainey bersyukur kerana inisiatif itu menarik minat golongan terbabit untuk menderma, sama ada menerusi pemberian barangan atau wang ringgit, selepas melihat 'sudut sumbangan' tersebut.

Encik Ahmad Dainey berkata mereka memastikan barangan makanan seperti roti dan biskut dibeli dalam jumlah yang kecil namun kerap, supaya makanan itu bertahan lama di rumah penerima. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan