Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 M'sia meningkat; kerajaan pantau kemasukan hospital

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau hospital-hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar kebolehjangkitan COVID-19 M'sia meningkat; kerajaan pantau kemasukan hospital

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Nov 2021 05:36PM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 05:38PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau hospital-hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Encik Khairy dalam catatan menerusi akaun Twitter rasminya pada Khamis (11 Nov) turut menggesa individu yang telah diberi temu janji dos penggalak COVID-19, agar mengambil dos berkenaan.

“Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak. Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.

Nilai R-Naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter beliau menyifatkan peningkatan semula kadar kebolehjangkitan bermakna kes harian semakin mendatar.

“Kebimbangan kita (Kementerian Kesihatan) adalah jika ia (kes harian) kembali meningkat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan dinasihatkan supaya mendapatkan segera dos penggalak apabila janji temu diberi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif COVID-19 negara selama empat hari berturut-turut apabila sebanyak 6,323 kes baru COVID-19 dicatatkan Khamis.

Sebelum itu, kes harian COVID-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan dengan 4,343 kes baru dicatat pada Ahad sebelum ia meningkat semula mulai Isnin sehingga semalam.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan