Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jutaan rakyat Syria diancam kebuluran akibat perang

Kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan menggesa lebih banyak bantuan disalurkan ke Syria di mana jutaan penduduknya kini diancam kebuluran.

Anggaran Waktu Membaca:
Jutaan rakyat Syria diancam kebuluran akibat perang

Warga Syria yang kehilangan tempat tinggal yang kini berada di kem sementara. (Gambar: AFP/Rami al Sayed)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 12:43PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 12:46PM

BEIRUT: Kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan menggesa lebih banyak bantuan disalurkan ke Syria di mana jutaan penduduknya kini diancam kebuluran.

Walaupun konflik peperangan selama sembilan tahun kini semakin reda, keperluan bantuan kemanusiaan semakin meruncing, menurut badan-badan bukan pemerintah (NGO) di satu persidangan di Brussels pada Isnin (29 Jun).

"Kira-kira 9.3 juta rakyat Syria kini tidur dalam keadaan kelaparan dan dua juta lagi berisiko mengalami nasib sama," menurut mereka.

"Peperangan hampir sedekad menyebabkan Syria terjerumus dalam kekecewaan dan hilang harapan dan keadaanya semakin buruk saban tahun," menurut kumpulan badan tersebut dalam satu kenyataan bersama.

Ia ditandatangani Majlis Pelarian Norway, Oxfam, CARE, Mercy Corps dan beberapa badan lagi, yang turut menambah bahawa penduduk Syria yang menghadapi isu jaminan makanan meningkat 42 peratus sejak tahun lalu.

Sidang Brussels IV yang dihoskan oleh Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibuka pada Selasa untuk membantu mereka yang terjejas oleh perang di dalam dan luar Syria.

"Kecuali pembiayaan dan akses kemanusiaan dipertingkatkan, ramai warga Syria, termasuk mereka yang menjalani kehidupan sebagai pelarian di kawasan itu, akan mengalami kebuluran," menurut kumpulan bantuan itu.

Perang di Syria sudah mengakibatkan lebih 380,000 orang terkorban dan memaksa hampir separuh penduduknya menjadi pelarian sejak ia bermula pada 2011.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan