Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Juruterbang Rusia dijulang 'wira' setelah berjaya lakukan pendaratan cemas

Seorang juruterbang Rusia diangkat sebagai wira selepas berjaya menyelamatkan nyawa lebih 230 orang setelah pesawat yang dikendalikannya merempuh sekumpulan burung camar dalam kejadian di Moscow pada Khamis (15 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Juruterbang Rusia dijulang 'wira' setelah berjaya lakukan pendaratan cemas

Gambar dipetik daripada video dron yang menunjukkan pesawat Ural Airlines Airbus 321 melakukan pendaratan cemas di sebuah ladang jagung berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky di Rusia pada 15 Ogos 2019. (Gambar: REUTERS/Agensi Berita Moscow)

Diterbitkan : 16 Aug 2019 04:43PM Dikemas Kini : 16 Aug 2019 04:45PM

MOSCOW: Seorang juruterbang Rusia diangkat sebagai wira selepas berjaya menyelamatkan nyawa lebih 230 orang setelah pesawat yang dikendalikannya merempuh sekumpulan burung camar dalam kejadian di Moscow pada Khamis (15 Ogos).

Pesawat Airbus 321 Ural Airlines, yang berlepas dari Lapangan Terbang Zhukovsky di Moscow dalam perjalanan menuju ke Crimea, bagaimanapun terpaksa melakukan pendaratan cemas di sebuah ladang jagung.

Menurut kenyataan agensi pengangkutan Rosaviatsia, yang dilaporkan agensi berita RIA Novosti, ada antara burung-burung itu disedut masuk ke dalam enjin pesawat.

Kesemua 226 penumpang dan tujuh kru penerbangan diselamatkan menggunakan gelongsor getah.

Dalam pada itu, menurut laporan kementerian kesihatan negara berkenaan, seramai 23 penumpang dihantar ke hospital. Namun, tiada sebarang kecederaan serius melainkan seorang pesakit berusia 69 tahun yang memerlukan rawatan rapi.

“Ia berlaku terlalu pantas. Kami berlepas dan kemudiannya turun semula,” kata seorang penumpang, Irina Usacheva, kepada stesen televisyen tempatan, Rossiya 24.

Menurut Svetlana Babina pula, rempuhan berkenaan boleh didengar dari dalam ruang penumpang sebelum enjin pesawat mengeluarkan bunyi bising yang pelik.

“Kami perlu memberi penghargaan kepada juruterbang itu. Beliau melakukan pendaratan dengan begitu baik sekali,” katanya.

Sementara itu, juruterbang yang dikenali sebagai Damir Yusupov, 41 tahun, dari Yekaterinburg yang terletak di timur Pergunungan Ural, mendapat pujian atas kecekapannya berfikir untuk menyelamatkan semua penumpang.

"Kru Ural Airlines menunjukkan kemahiran yang baik dan cekap. Beliau dan pasukannya berjaya menyelamatkan 233 nyawa. Mereka semua adalah wira,” kata Gabenor Yekaterinburg, Yevgeny Kuyvashev.

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan