Images
  • pesawat kecil
    (Gambar: BERNAMA)

Juruterbang, penumpang didenda naiki penerbangan ke Pulau Tioman tanpa izin

KUANTAN: Gara-gara tidak mempunyai surat kebenaran merentas sempadan negeri, dua juruterbang dan dua penumpang dikompaun setelah pesawat ringan yang mereka naiki mendarat di Lapangan Terbang Kampung Tekek di Pulau Tioman, Rompin pada Rabu (14 Okt).

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata keempat-empat individu termasuk seorang wanita berlepas dari Lapangan Terbang Subang, Selangor dan mendarat di lapangan terbang pulau peranginan itu pada kira-kira pukul 3.00 petang. 

"Selain juruterbang persendirian itu, kapal terbang tersebut dinaiki oleh pengurus keselamatan dan pengurus pemasaran sebuah perniagaan akitivti menyelam di sebuah resort di Kampung Juara, Pulau Tioman.

"Mereka didapati tidak mempunyai surat kebenaran merentas sempadan negeri daripada polis mahupun surat majikan atau bekerja dalam sektor keperluan asas, yang merupakan keperluan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu. 

Encik Azari berkata denda itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana keluar dari kawasan yang diisytiharkan PKPB tanpa kebenaran. 

Beliau berkata mereka juga bersetuju untuk pulang ke Lapangan Terbang Subang pada pagi Khamis (15 Okt) kerana juruterbang persendirian itu mendakwa tidak mempunyai kebenaran menerbangkan pesawat pada waktu malam. 

"Untuk malam ini, pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan gelang kuarantin kepada empat individu itu selain akan dipantau oleh pasukan pemantauan sehingga mereka bertolak pulang pada Khamis," katanya. 

- BERNAMA/HA/ha

Top