Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Juruterbang benarkan gadis duduk dalam kokpit; digantung dari lakukan penerbangan seumur hidup

Seorang juruterbang warga China digantung daripada menerbangkan pesawat selama seumur hidup kerana membenarkan seorang wanita muda memasuki kokpit. Beberapa pegawai eksekutif kanan juga dikenakan tindakan disiplin.

Anggaran Waktu Membaca:
Juruterbang benarkan gadis duduk dalam kokpit; digantung dari lakukan penerbangan seumur hidup

Gambar pelajar yang duduk di kerusi juruterbang dalam kokpit mengundang kekecohan apabila ia tular di media sosial. (Gambar: Weibo)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 08:58PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 08:59PM

HONG KONG: Seorang juruterbang warga China digantung daripada menerbangkan pesawat selama seumur hidup kerana membenarkan seorang wanita muda memasuki kokpit. Beberapa pegawai eksekutif kanan juga dikenakan tindakan disiplin.

Insiden tersebut berlaku dalam pesawat Air Guilin 10 bulan lalu tetapi gambar-gambar yang dipetik oleh wanita berkenaan - dikenal pasti sebagai Cik Chen Yuying, seorang mahasiswi tahun ketiga Universiti Pelancongan Guilin - hanya mula tular pada Ahad (3 Nov).

Cik Chen dilihat berposing di tempat duduk juruterbang dengan sebuah set minuman teh terletak di hadapannya dan memuat naik kapsyen yang berbunyi: "Saya sangat berterima kasih kepada juruterbang! Saya amat teruja!"

Gambar berkenaan, dikesan minggu ini di laman Weibo oleh seseorang yang bekerja dalam industri udara, mencetuskan kekecohan dalam kalangan pakar penerbangan.

Mereka menarik perhatian bahawa gambar tersebut dipetik ketika pesawat sedang dalam pertengahan penerbangan dan mengenal pasti syarikat pesawat berkenaan.

Cik Chen, yang menyimpan hasrat untuk dilatih sebagai seorang pramugari setelah tamat pengajian, sudahpun memadamkan catatannya di Weibo.

Air Guilin pertama kali mengeluarkan kenyataan pada Isnin (4 Nov), mengesahkan bahawa juruterbang yang tidak didedahkan namanya sudahpun mencabuli peraturan keselamatan udara.

Ia menyatakan insiden tersebut berlaku pada Januari dalam penerbangan antara Guilin, kawasan barat daya Guangxi, dengan Yangzhou, sebuah bandar di sebelah timur wilayah Jiangsu.

Menurut kenyataan ittu: "Air Guilin memutuskan untuk melarang juruterbang terbabit daripada menerbangkan pesawat seumur hidup" namun tidak menyatakan sama ada juruterbang itu akan terus bekerja dengan syarikat berkenaan bagi jawatan lain.

"Para anggota anak kapal lain sudahpun digantung daripada penerbangan sehingga waktu yang belum ditetapkan sehingga siasatan lanjut," tambah kenyataan tersebut.

Pada Selasa (5 Nov), satu arahan yang terbocor daripada Air Guilin - diterbitkan dalam portal berita Thepaper.cn - menamakan juruterbang berkenaan buat kali pertama sebagai Encik Su Chen dan menyatakan bahawa syarikat penerbangan tersebut sudahpun meminta Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam untuk menarik balik lesen juruterbang itu.

Dokumen terkini juga menyatakan lapan pegawai eksekutif kanan dikenakan tindakan disiplin.

Peraturan penerbangan China melarang para penumpang yang tidak dibenarkan daripada berada dalam kokpit dan para juruterbang hanya boleh menjemput orang untuk memasuki kawasan itu atas sebab-sebab keselamatan.  

Sumber : Agensi berita/TODAYonline/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan