Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Junta Myanmar dakwa Aung San Suu Kyi atas tuduhan penipuan pada pilihan raya 2020

Pemimpin yang digulingkan, iaitu Aung San Suu Kyi, didakwa oleh junta Myanmar atas kesalahan melakukan penipuan semasa pilihan raya 2020, menurut laporan media negara itu hari ini (16 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Junta Myanmar dakwa Aung San Suu Kyi atas tuduhan penipuan pada pilihan raya 2020

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Nov 2021 04:36PM Dikemas Kini : 16 Nov 2021 04:37PM

YANGON: Pemimpin yang digulingkan, iaitu Aung San Suu Kyi, didakwa oleh junta Myanmar atas kesalahan melakukan penipuan semasa pilihan raya 2020, menurut laporan media negara itu hari ini (16 Nov).

Myanmar dibelenggu kemelut sejak rampasan kuasa tentera pada Februari mencetuskan tunjuk perasaan di merata negara dan juga tindakan keras ke atas para penunjuk perasaan.

Ditahan sejak rampasan kuasa tersebut, Aung San Suu Kyi, 76 tahun, berdepan beberapa tuduhan termasuk secara haram mengimport alat walkie talkie, melakukan hasutan dan rasuah. Cik Aung San Suu Kyi berdepan hukuman penjara berdekad-dekad lamanya jika disabit kesalahan.

Tuduhan terbaru melibatkan "penipuan pilihan raya dan perbuatan tidak mengikut undang-undang", menurut laporan akhbar negara Global New Light of Myanmar. Namun, laporan tersebut tidak mendedahkan butiran tentang tarikh prosiding mahkamah.

Lagi 15 pegawai lain - termasuk bekas presiden Win Myint dan bekas pengerusi suruhanjaya pilihan raya - pula berdepan tuduhan yang sama, tambah laporan itu.

Parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) Cik Aung San Suu Kyi menyaksikan sokongan melonjak dalam undian pada 2020 berbanding pilihan raya 2015, menewaskan parti tentera.

Bagaimanapun, junta tentera mendakwa berlaku penipuan semasa proses undi sebagai sebab ia merampas kuasa dan menamatkan kepimpinan demokrasi sementara Myanmar.

Pada Julai, ia membatalkan keputusan undi, sambil mengumumkan bahawa ia membongkar lebih 11 juta insiden pengundi yang menyimpang.

Ketua junta Min Aung Hlaing berkata pilihan raya baru akan diadakan dan perisytiharan darurat akan ditarik balik menjelang Ogos 2023, sambil melanjutkan garis masa awal yang ditetapkan tentera semasa ia merampas kuasa.

Dalam satu laporan mengenai undi pada 2020, kumpulan pemantau Pilihan Raya Bebas Rangkaian Asia menyatakan ia "sebahagian besarnya, mewakili kehendak rakyat".

"KEPRIHATINAN MENDALAM"

"Junta menggunakan dakwaan-dakwaan tidak betul tentang penipuan pilihan raya sebagai langkah mewajarkan rampasan kuasanya," tegas Penasihat Kanan Kumpulan Krisis Antarabangsa Myanmar Richard Horsey kepada AFP.

"Setelah gagal usaha mengenal pasti lebih sekumpulan orang yang mengundi dua kali, ia kini mahu mengambil tindakan ke atas para pemimpin NLD," kata beliau.

"Namun Aung San Suu Kyi dan NLD menerima sokongan sangat utuh daripada para pengundi, maka keputusan (mahkamah) yang mensabitkan mereka sebagai bersalah tidak akan menyakinkan sesiapa pun."

Junta itu mengancam untuk membubarkan NLD dan pada bulan lalu memenjara Win Htein, iaitu penolong rapat Cik Aung San Suu Kyi dan seorang pemimpin dengan ranking tinggi, selama 20 tahun atas tuduhan khianat.

Cik Aung San Suu Kyi sekarang ini juga sedang dibicarakan atas kesalahan melanggar sekatan-sekatan COVID-19 semasa menjalankan kempen menjelang pilihan raya.

Para wartawan pula dilarang daripada menghadiri prosiding di mahkamah khas di Naypidaw dan junta baru-baru ini menghalang pasukan guaman Cik Aung San Suu Kyi daripada bercakap kepada media.

Cik Aung San Suu Kyi hadir bagi sesi perbicaraan terkini pada Isnin (15 Nov) bagi tuduhan mengimport alat walkie talkie secara haram, sumber yang dekat dengan perkara itu memberitahu AFP.

Keputusan perbicaraannya atas kesalahan melanggar peraturan-peraturan COVID-19 dijangka dimuktamadkan pada Disember. Cik Aung San Suu Kyi berdepan hukuman penjara tiga tahun jika disabit kesalahan.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan "kebimbangan mendalam" tentang konflik fi Myanmar dan menggesa agar "keganasan segera dihentikan" dan usaha-usaha memastikan penduduk biasa tidak dalam bahaya.

Lebih 10,000 orang sudah diberkas sejak rampasan kuasa tentera Myanmar, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Sumber : AFP/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan