Jumlah pengebumian di Jakarta melonjak; pihak berkuasa khuatir banyak kematian COVID-19 tidak dilaporkan
Jumlah pengebumian di Jakarta meningkat dengan mendadak pada Mac, satu perkembangan yang menurut gabenor ibu kota Indonesia itu membayangkan bahawa kematian akibat COVID-19 mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan secara rasmi.
JAKARTA: Jumlah pengebumian di Jakarta meningkat dengan mendadak pada Mac, satu perkembangan yang menurut gabenor ibu kota Indonesia itu membayangkan bahawa kematian akibat COVID-19 mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan secara rasmi.
Hampir 4,400 pengebumian dilakukan pada bulan lalu, 40 peratus lebih tinggi berbanding mana-mana bulan sejak sekurang-kurangnya Januari 2018, menurut penilaian statistik oleh Reuters dari Jabatan Taman dan Tanah Perkuburan. Jumlah kedua tertinggi kedua semasa tempoh itu adalah pada bulan Mac 2019 apabila hampir 3,100 jenazah dikebumikan.
Reuters mendapatkan statistik tersebut sehingga permulaan 2018.
Ibu kota Jakarta menjadi pusat penularan virus korona itu di Indonesia, membentuk 971 kes jangkitan dan 90 kematian, menurut perangkaan pemerintah tengah. Ini adalah kira-kira separuh daripada jumlah kes dan korban di seluruh negara.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, dan beberapa pakar kesihatan awam mengesyaki jumlah jangkitan dan kematian di Jakarta yang dilaporkan adalah jauh lebih rendah kerana kadar ujiannya adalah antara yang terendah di dunia.
"Keadaan itu amat membimbangkan," Encik Baswedan memberitahu Reuters pada Jumaat (3 Apr), merujuk kepada statistik pengebumian. "Saya sukar mencari sebab lain selain kematian COVID-19 yang tidak dilaporkan."
Seorang pegawai kanan kementerian kesihatan tidak memberikan respons kepada panggilan telefon dan mesej yang meminta beliau mengulas tentang statistik pengebumian itu. Seorang jurucakap bagi Presiden Joko Widodo pula tidak memberi respons kepada permintaan untuk mengulas hal itu.
Perangkaan daripada Jabatan Taman dan Tanah Perkuburan Jakarta tidak mengenal pasti punca kematian tetapi tidak ada epidemik baru lain yang dilaporkan berlaku di Jakarta mahupun sebarang bencana alam besar sepanjang tempoh tersebut.
Indonesia sudahpun menambah ujian COVID-19 sebanyak hampir seganda pada minggu lalu tetapi hanya menjalankan 7,621 ujian di negara yang mempunyai lebih 260 juta penduduk.
Pada Jumaat, kementerian kesihatan melaporkan jumlah jangkitan COVID-19 di Indonesia adalah 1,986 orang. Kematian akibat virus korona itu pula adalah 181, yang paling banyak di Asia selain dari China.
Kakitangan hospital dan pengurus jenazah di Jakarta sudahpun mengambil langkah berjaga-jaga khas ketika mengendalikan 438 mayat yang mereka mengesyaki mati akibat COVID-19 dari 6 Mac hingga 2 Apr, menurut pejabat gabenor.
Protokol yang diambil termasuk pengurus jenazah menggunakan cecair basmi kuman serta membalut mayat dalam plastik dan bukannya kain seperti dalam Islam. Indonesia adalah negara dengan paling banyak penduduk Islam di dunia.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.