Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jumlah penduduk dunia di ambang kebuluran melonjak: PBB

Agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan hari ini (8 Nov) jumlah orang di ambang kebuluran di 43 negara sudah bertambah kepada 45 juta, sedang kelaparan akut makin berleluasa di seluruh dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah penduduk dunia di ambang kebuluran melonjak: PBB

Penduduk Afghanistan di Kabul beratur dapatkan wang tunai menerusi agihan agensi makanan WFP pada 3 Nov 2021 (Gambar: AP Photo/Bram Janssen)

Diterbitkan : 08 Nov 2021 08:46AM Dikemas Kini : 08 Nov 2021 08:55AM

ROM: Agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan hari ini (8 Nov) jumlah orang di ambang kebuluran di 43 negara sudah bertambah kepada 45 juta, sedang kelaparan akut makin berleluasa di seluruh dunia.

Lonjakan daripada 42 juta orang pada awal tahun ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penilaian keselamatan makanan yang mendapati lagi tiga juta orang berdepan masalah kebuluran di Afghanistan, menurut Program Makanan Sedunia (WFP).

"Berpuluh-puluh juta orang hampir putus harapan. Kita menyaksikan konflik, perubahan iklim dan COVID-19 yang meningkatkan jumlah mereka yang sangat kelaparan," Pengarah Eksekutif WFP David Beasley dilaporkan sebagai berkata.

“Data terkini menunjukkan kini terdapat lebih 45 juta orang menuju ke ambang kebuluran,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Afghanistan, di mana WFP menambah bantuan untuk hampir 23 juta orang.

"Kos bahan api meningkat, harga makanan melambung tinggi, baja lebih mahal dan semua ini membawa kepada krisis baru seperti yang berlaku sekarang di Afghanistan, serta darurat berlarutan seperti di Yaman dan Syria," tambahnya.

WFP menyatakan kos mengelakkan kebuluran di seluruh dunia kini berjumlah tujuh bilion dolar, naik daripada 6.6 bilion dolar seperti yang dianggarkan pada awal tahun.

Badan itu bagaimanapun memberi amaran bahawa aliran pendanaan tradisional kini sudah menjangkaui hadnya.

Keluarga-keluarga yang berdepan masalah kekurangan makanan akut "terpaksa membuat pilihan yang memusnahkan", seperti mengahwinkan anak-anak mereka lebih awal, hentikan mereka daripada persekolahan atau memberi mereka makan belalang, daun liar atau kaktus.

Kemarau berkali-kali di Afghanistan dengan kemelesetan ekonomi mendorong keluarga-keluarga ke ambang kebuluran, manakala sekitar 12.4 juta orang di Syria tidak tahu dari mana makanan seterusnya akan datang - lebih tinggi berbanding mana-mana tempoh sepanjang konflik sedekad lamanya.

Jumlah meningkat isu kelaparan akut juga dilihat di Habsyah, Haiti, Somalia, Angola, Kenya, dan Burundi, menurut agensi itu yang berpangkalan di Rom. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan