Images
  • banjir (1)
    (Gambar: Bernama)

Jumlah mangsa banjir di Kelantan kurang sedikit

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun sedikit kepada 261 orang pada pukul 1.00 tengah hari ini (30 Nov) berbanding 315 orang yang direkodkan pada pukul 8.00 pagi.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan jumlah itu membabitkan 70 keluarga di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga jajahan iaitu Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Tanah Merah meningkat kepada 155 orang berbanding 103 orang pagi ini.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.01 meter (bahaya 9.0 meter).

Sungai Lebir di Tualang, Kual Krai melepasi paras amaran dengan bacaan 31.7 meter (amaran 31 meter) manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai, Kusial dan Jenob masing-masing 21.37 meter, 13.48 meter dan 21.62 meter melepasi paras berjaga-jaga.

Hujan masih berterusan di Kelantan namun belum ada jalan yang ditutup dan tiada sebarang kemalangan nyawa direkodkan.

- BERNAMA/NA/na

Top