Images
  • palestin
    Jordan dan Perancis percaya konflik Israel-Palestin boleh mencetuskan krisis di Timur Tengah. (Gambar: Khalil Hamra/AP)

Jordan, Perancis tegaskan konflik Israel-Palestin ancam keselamatan serantau

AMMAN: Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, pada Ahad (13 Jan) berkata Paris dan Amman bersetuju bahawa kurangnya huraian terhadap konflik Palestin-Israel bakal mengancam keselamatan Timur Tengah. Demikian menurut laporan agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Luar Jordan.

Semasa sidang media bersama rakan sejawatannya dari Perancis Jean-Yves Le Drian di Amman, Encik Safadi berkata kedua-dua negara itu percaya masalah yang berlarutan di Palestin boleh mencetuskan krisis di rantau berkenaan.

"Kami akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan persekitaran politik yang diperlukan bagi menggerakkan usaha mencari huraian ke arah pembentukan dua negara (menamatkan konflik Palestinin-Israel)," kata Encik Safadi.

Diplomat kanan itu berkata Jordan amat menghargai sokongan Perancis terhadap huraian konflik menerusi pembentukan dua negara sambil menambah, Perancis memainkan peranan penting dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Rundingan dua hala berkenaan turut membincangkan krisis di Syria serta keperluan menyelaras usaha mencari huraian politik di negara tersebut.

"Keutamaan kami adalah untuk menamatkan krisis," kata Encik Safadi sambil menambah Jordan akan menyelaras usaha dengan Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat bagi mencari huraian politik secepat mungkin.

Pada hari sama, Raja Jordan, Raja Abdullah II turut berunding dengan pegawai Perancis bagi membincangkan aspek hubungan kedua-dua negara serta perkembangan keadaan semasa serantau.

- BERNAMA/AI/ai

Top