Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jokowi sah pemenang pilihan raya Indonesia

Presiden Joko Widodo memenangi pilihan raya presiden Indonesia bulan lalu dengan meraih 55.5 peratus undi berbanding 44.5 peratus undi yang diraih pesaingnya, mantan jeneral tentera Prabowo Subianto, menurut kiraan rasmi oleh suruhanjaya pilihan raya pada awal Selasa (21 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 May 2019 07:49AM Dikemas Kini : 21 May 2019 11:17PM

JAKARTA: Presiden Joko Widodo memenangi pilihan raya presiden Indonesia bulan lalu dengan meraih 55.5 peratus undi berbanding 44.5 peratus undi yang diraih pesaingnya, mantan jeneral tentera Prabowo Subianto, menurut kiraan rasmi oleh suruhanjaya pilihan raya pada awal Selasa (21 Mei).

Keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) mengesahkan kiraan tidak rasmi sebelum ini oleh agensi-agensi swasta yang memberi kemenangan kepada Encik Widodo dengan majoriti selesa.

Namun keputusan rasmi itu mungkin akan mencetuskan bantahan guaman dan tunjuk perasaan di jalan raya setelah Encik Prabowo mendakwa berlakunya penipuan dalam pilihan raya tersebut.

Encik Widodo meraih lebih 85 juta daripada sejumlah 154 juta undi. Setakat ini belum ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Encik Widodo mahupun pasukan kempennya.

Sebelum ini, sebuah agensi kawal selia pilihan raya pada Isnin (20 Mei) menyangkal dakwaan berlakunya penipuan sistematik kerana kurang bahan bukti dan para pemerhati dan pengamat juga berkata pilihan raya itu dijalankan dengan telus dan adil.

Namun seorang saksi dari pasukan kempen Encik Prabowo dan parti pembangkang utama enggan menandatangani dan mengesahkan keputusan rasmi tersebut yang diumumkan lebih sehari lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan setelah kakitangan KPU bertungkus lumus hingga ke awal pagi Selasa untuk menyelesaikan pengiraan undi.

“Kami tidak mahu mengalah di tengah-tengah ketidakadilan, penipuan, pembohongan dan perbuatan menentang demokrasi,” kata Azis Subekti, seorang saksi daripada pasukan kempen Encik Prabowo.

Setakat ini belum jelas sama ada Encik Prabowo akan mengemukakan bantahan guaman terhadap keputusan rasmi itu.

Pihak berkuasa sudah mengetatkan tahap keselamatan sedang ia menjangkakan pergolakan politik. Para pegawai sudah menahan berpuluh-puluh militan yang disyaki merancang serangan untuk mencetuskan huru-hara semasa bantahan-bantahan itu.

Encik Prabowo berkata situasi itu boleh mencetuskan bantahan “kuasa rakyat”, sedang pemerintah dan polis menggesa para penunjuk perasaan supaya memelihara kedamaian dan berikrar akan bertindak terhadap sesiapa saja yang mencetuskan kekacauan.

Polis negara, yang terletak di bawah kuasa Encik Widodo secara lansgung, juga sudah menahan atau menyoal siasat sekurang-kurangnya tiga ahli pembangkang kerana disyaki melakukan pengkhianatan.

Minggu lalu, polis menyatakan pihaknya memberkas sekitar 30 suspek militan yang ada kaitan dengan Jemaah Ansharut Daulah (JAD), iaitu kumpulan terbesar yang terkait dengan ISIS di Indonesia.

Parti yang kalah dalam pilihan raya tersebut dibenarkan mencabar keputusan rasmi di mahkamah perlembagaan. Jika tiada bantahan dikemukakan, KPU akan mengisytiharkan pemenangnya sebelum 28 Mei.

Encik Prabowo belum lagi mengesahkan sama ada beliau akan mengemukakan bantahan di mahkamah. Bantahan terhadap kekalahannya kepada Encik Widodo pada 2014 ditolak oleh mahkamah. 

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan