Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor saran sektor pendidikan diberi keutamaan bagi aturan perjalanan harian

Johor mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya pelaksanaan awal skim ketiga aturan perjalanan harian (DCA) untuk sempadan Johor-Singapura kelak memberikan keutamaan kepada sektor pendidikan terlebih dahulu termasuk para pelajar dan guru mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor saran sektor pendidikan diberi keutamaan bagi aturan perjalanan harian

(Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 19 Nov 2020 09:25PM Dikemas Kini : 19 Nov 2020 09:26PM

JOHOR BAHRU: Johor mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya pelaksanaan awal skim ketiga aturan perjalanan harian (DCA) untuk sempadan Johor-Singapura kelak memberikan keutamaan kepada sektor pendidikan terlebih dahulu termasuk para pelajar dan guru mereka.

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata cadangan itu telah dibangkitkan beliau sewaktu sidang video khas bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Rabu (18 Nov) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Dalam kesempatan semalam bersama Perdana Menteri, saya cadangkan kalau boleh mulakan DCA ini dengan sektor pendidikan dahulu iaitu membabitkan pelajar kolej atau institusi swasta di Johor ataupun rakyat Johor yang mendapat pendidikan di Singapura serta dengan ibu bapa, penjaga ataupun guru mereka. 

“Mereka ini harus diberikan keutamaan kerana terdapatnya permintaan mendesak untuk keluar masuk secara harian,” katanya di sidang media secara dalam talian hari ini (19 Nov).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas inti pati perbincangannya bersama Encik Muhyiddin dalam sidang berkenaan.

Mengulas lanjut, Encik Hasni berkata pelaksanaan DCA ketika ini belum diputuskan oleh kerajaan namun usaha untuk menjayakannya tetap diteruskan memandangkan Johor menyediakan pelbagai cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap kepada jawatankuasa yang berkenaan untuk tujuan pelaksanaan langkah terbabit.

Beliau berkata ini termasuklah mencadangkan supaya hanya kira-kira 7,000 individu dibenarkan melakukan perjalanan pada peringkat awal DCA itu dilaksanakan. 

“Cadangan ini semua kita telah kemukakan kepada jawatankuasa khas di peringkat pusat dan berdasarkan respons Perdana Menteri semalam, pihak MKN atau jawatankuasa akan membincangkan perkara ini dan akan memaklumkan kepada Kementerian Luar untuk tindakan seterusnya.

“Jadi, kerajaan negeri akan berhubung dengan Kementerian Luar untuk meminta supaya cadangan SOP yang dikemukakan kerajaan negeri, dapat dimuktamadkan segera,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan