Images
  • health monitor bernama
    (Gambar: BERNAMA)

Johor peruntuk bantuan lebih RM35,000 kepada mangsa pelajar sesak nafas

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM35,850 (S$11,788) sebagai bantuan kepada pelajar-pelajar di Pasir Gudang untuk menggantikan pakaian sekolah yang sudahpun dilupuskan bagi tujuan keselamatan susuli insiden sesak nafas dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar pada Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung, berkata bantuan berupa wang tunai ringgit sebanyak RM150 (S$50) seorang itu diberikan kepada 239 pelajar daripada 21 sekolah rendah serta menengah.

Beliau berkata urusan pemberian bantuan berkenaan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Menurutnya, ketika insiden berlaku pada Jun lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudahpun memohon kepada JKM agar pakaian yang dibekalkan digunakan untuk tujuan dekontaminasi, proses menjadikan individu atau persekitaran bebas daripada bahan berbahaya manakala baju yang dipakai mangsa (pelajar) ketika itu dilupuskan untuk tujuan keselamatan.

“Susulan daripada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor bersetuju supaya JKM menguruskan bantuan menggantikan pakaian sekolah kepada 239 orang pelajar yang terlibat sahaja dengan kadar bantuan sebanyak  RM150.

"Kita berharap dengan bantuan kewangan ini, ia dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga pelajar yang terlibat,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Bantuan Wang Gantian Pakaian Untuk Tujuan Dekontaminasi Insiden Pencemaran Udara Pasir Gudang (Ops Mawar) kepada pelajar-pelajar yang terlibat di Johor Bahru hari ini (10 Nov).

Cik Liow menambah JKM, melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, turut terlibat sama dalam usaha membantu mangsa-mangsa bencana pencemaran udara di Pasir Gudang.

Beliau berkata antara bantuan yang disalurkan adalah membekalkan pakaian seperti kain batik, kain pelikat, seluar sukan, baju dewasa, baju kanak-kanak, tuala dan lain-lain yang bersesuaian.  

- BERNAMA/FZ/fz

Top