Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor catat jumlah tertinggi rumah siap dibina tidak terjual

Johor merupakan negeri yang merekodkan rumah siap dibina tidak terjual paling banyak di Malaysia ketika ini iaitu sebanyak 6,441 unit. Ia diikuti Pulau Pinang (4,638), Kuala Lumpur (3,863), Selangor (3,376), Perak (2,865) dan Sabah (2,742).

Anggaran Waktu Membaca:
Johor catat jumlah tertinggi rumah siap dibina tidak terjual

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Nov 2021 01:50PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 02:08PM

KUALA LUMPUR: Johor merupakan negeri yang merekodkan rumah siap dibina tidak terjual paling banyak ketika ini iaitu sebanyak 6,441 unit.

Ia diikuti Pulau Pinang (4,638), Kuala Lumpur (3,863), Selangor (3,376), Perak (2,865) dan Sabah (2,742).

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abd Muttalib, bagi suku kedua tahun 2021, terdapat 31,112 unit rumah siap dibina tidak terjual di seluruh negara yang bernilai RM20.1 bilion.

Katanya lagi, berdasarkan laporan Status Pasaran Harta Tanah oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat 30,290 unit rumah siap dibina tidak terjual yang bernilai RM19.75 bilion bagi suku ketiga tahun 2021," dedah beliau kepada Astro AWANI.

"Ini menunjukkan terdapat sedikit penurunan sebanyak 2.64 peratus dalam bilangan unit dan 1.74 dalam dalam nilai bagi suku tahun ketiga berbanding suku kedua tahun 2021.

"Terdapat penurunan kadar lambakan rumah yang tidak terjual walaupun tidak ketara kerana terdapat pemaju yang menurunkan harga atau memberikan diskaun bagi membolehkan bekalan rumah sedia ada dapat dijual dalam ketidaktentuan ekonomi masa kini.

"Ini dibuktikan dengan penurunan Indeks Harga Rumah pada suku ketiga 2021 (preliminary) pada 198.6 mata berbanding suku ketiga 2020 pada 199.9 mata yang menunjukkan penurunan sebanyak 0.7 peratus," katanya di Dewan Rakyat hari ini (23 Nov).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu jumlah terkini rumah yang tidak terjual mengikut jenis dan negeri setakat September 2021.

Ismail pada masa sama berharap lebih ramai pemaju dapat menurunkan harga jualan rumah bagi membolehkan lambakan rumah tidak terjual berkurangan dan pasaran hartanah kediaman kembali pulih ke paras yang lebih mampan.

Menurut beliau, antara punca lambakan rumah tidak terjual ini berlaku adalah ekoran daripada penawaran perumahan yang tidak sepadan dengan permintaan di sesuatu lokaliti, harga rumah yang tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah, lokasi yang kurang menarik dan lain-lain lagi.

Pada masa sama, transaksi pembelian rumah sedia ada secara 'subsale' juga menyumbang kepada peningkatan rumah baru yang tidak terjual.

Sumber : Agensi berita/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan