Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jiran terkejut beruang 'minta' makanan

Bunyi bising dari sebuah unit tidak berpenghuni di tingkat 16 sebuah kediaman bertingkat di Kuala Lumpur mengejutkan jiran tetangga apabila rupa-rupanya terdapat seekor beruang matahari yang 'menjengah' di salah satu tingkap dapur unit berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jiran terkejut beruang 'minta' makanan

Petikan skrin video. (Ida Shareena/Facebook)

Diterbitkan : 08 Jun 2019 08:35AM Dikemas Kini : 08 Jun 2019 08:41AM

KUALA LUMPUR: Bunyi bising dari sebuah unit tidak berpenghuni di tingkat 16 sebuah kediaman bertingkat di Kuala Lumpur mengejutkan jiran tetangga apabila rupa-rupanya terdapat seekor beruang matahari yang 'menjengah' di salah satu tingkap dapur unit berkenaan.

Beruang itu dipercayai sedang kelaparan kerana dikatakan ditinggalkan sejak dua hari oleh penghuni yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Insiden berlaku sekitar jam 4.57 petang Khamis (6 Jun) dan dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Ida Shareena yang juga penduduk di situ namun mendapat maklumat berkenaan daripada jiran-jiran menerusi 'group WhatsApp' ketika berada Muar, Johor.

Menerusi perkongsian itu, Ida Shareena memaklumkan pada awalnya, kehadiran beruang berkenaan disangka sebagai satu gurauan oleh individu yang memakai pakaian beruang untuk menakutkan kanak-kanak.

Bagaimanapun katanya, tindakan salah seorang jiran di unit bawah unit berkenaan merakam video beruang itu cuba keluar dari tingkap membuktikan insiden itu benar-benar sedang berlaku, lapor Sinar Harian.

"Nasib baik pemilik unit itu sendiri begitu responsif dan menghubungi pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah itu. Menurut pemilik berkenaan, unit itu disewa oleh dua orang wanita," katanya menerusi perkongsian itu.

Penyewa unit berkenaan kemudiannya dihubungi dan operasi menyelamat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta Jabatan Perhilitan sebaik sahaja salah seorang penghuni pulang dan membuka pintu rumah.

Ida Shareena dalam perkongsian itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba dan Jabatan Perhilitan atas tindakan pantas bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Beliau berharap agar pemilik haiwan berkenaan dihukum dan beruang itu dijaga dengan baik serta dihantar kembali ke habitat asal dan turut meninggalkan pesan agar orang ramai berhenti membela haiwan liar dan haiwan terancam secara haram sebagai haiwan kesayangan di rumah kerana ia adalah satu tanggungjawab yang begitu besar.

Menurut Sinar Harian, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 6.59 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dihantar ke lokasi kejadian.

“Anak beruang yang setinggi 3 kaki telah ditangkap kemudian diserahkan kepada pegawai perhilitan dan operasi tamat pada jam 7.42 malam.

“Beruang berkenaan dipelihara tanpa permit,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan