Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jika PKP dilaksanakan semula sepenuhnya akan undang kesan buruk

Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dan lebih ketat boleh mengundang impak lebih buruk.

Anggaran Waktu Membaca:
Jika PKP dilaksanakan semula sepenuhnya akan undang kesan buruk

Sebuah kedai makan di Malaysia (Gambar hiasan: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Jan 2021 10:09PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 10:13PM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini (25 Jan) menyifatkan sebarang pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dan lebih ketat boleh mengundang impak lebih buruk dan sukar dipulihkan terhadap sektor perniagaan dan ekonomi serta menjejas kelangsungan perniagaan dan jaminan pekerjaan.

Oleh itu, menurut FMM, ia menggesa industri untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan memainkan peranan mereka dengan mengambil langkah proaktif dan perlindungan tambahan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di tempat kerja dan kuarters kediaman pekerja.

“Industri amat bimbang dengan amaran Kementerian Kesihatan bahawa sistem kesihatan negara kini berada pada tahap yang maksimum akibat kes COVID-19 yang terlalu tinggi.

“Kami turut prihatin terhadap perkembangan terkini bahawa sejumlah 318 kluster aktif COVID-19 dengan 99 peratus atau 30 peratus daripadanya adalah daripada sektor pembuatan,” kata Presiden FMM Soh Thian Lai dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata FMM mengeluarkan peringatan sekali lagi kepada ahlinya mengenai langkah tambahan yang perlu diambil untuk melindungi tenaga kerja dan membendung penularan jangkitan.

Encik Soh berkata memandangkan hostel dan kediaman pekerja sudah dikenal pasti sebagai punca penularan jangkitan COVID-19, wujud keperluan yang mendesak kepada majikan untuk memberi lebih perhatian kepada keadaan hidup para pekerja dan memastikan mereka mematuhi kesemua SOP yang ketat termasuk jarak selamat di kawasan kediaman.

Beliau berkata ini termasuk mengenakan syarat yang sama kepada keadaan hidup pekerja sub-kontrak dan mematuhi arahan kerajaan kepada semua pekerja asing supaya menjalani saringan COVID-19 dan berusaha menyelesaikan perkara ini secepat mungkin menjelang tempoh akhir yang ditetapkan.

“Ujian secara besar-besaran turut terbukti sebagai pendekatan paling efektif untuk mengesan kes positif dan mendorong protokol yang diperlukan untuk memastikan tindakan pantas dan gangguan yang minimum terhadap operasi,” katanya.

Encik Soh berkata industri sudah meminta sokongan yang berterusan daripada kerajaan untuk membantu semua majikan kerana mereka berusaha untuk mematuhi beberapa syarat dan arahan itu yang mempunyai kesan langsung ke atas kepatuhan mereka dalam SOP tertentu iaitu pematuhan kepada Akta 446 mengenai penginapan untuk pekerja dan ujian wajib kepada semua pekerja asing.

Mengenai saringan wajib ke atas semua pekerja asing, beliau berkata FMM merayu kepada kerajaan agar bersetuju memberikan subsidi ke atas kos ujian RTK antigen supaya majikan di semua negeri yang dikenakan PKP dapat segera menyelesaikan ujian mandatori itu menjelang tempoh akhir.

Encik Soh berkata kerajaan perlu memastikan klinik dan hospital mematuhi sepenuhnya kos yang ditetapkan bagi ujian RTK antigen/RT-PCR kepada semua termasuk pekerja asing atau apabila semua ujian secara besar-besaran sudah dilakukan dan menimbangkan diskaun yang bersesuaian untuk kos perkhidmatan/kos saringan yang akan ditanggung oleh majikan.

“Pengumuman awal mengenai program pemvaksinan nasional dan kumpulan yang perlu diutamakan adalah kritikal ke arah rancangan kesinambungan perniagaan industri.

“Perlu diakui bahawa selagi pandemik ini melanda, pertumbuhan dan pelaburan oleh sektor swasta akan kekal lemah dan pemulihan ekonomi akan terus lembap,” katanya.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan