Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jho Low di negara yang kita tidak boleh tangkapnya: Mahathir

"Kami sedang berusaha menangkap Jho Low tetapi dia tidak berada dalam negara dan kami tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara yang dia tinggal itu," kata Dr Mahathir semasa bercakap di sidang akhbar di Putrajaya hari ini (8 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Jho Low di negara yang kita tidak boleh tangkapnya: Mahathir

Gambar: MANAN VATSAYAYANA/AFP

Diterbitkan : 08 Jun 2018 03:59PM Dikemas Kini : 08 Jun 2018 04:03PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad hari ini(8 Jun) mengesahkan pihak berkuasa negara itu sedang berusaha untuk menangkap tokoh perniagaan kontroversil berkaitan 1MDB Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Menurut laporan Malaysiakini, Dr Mahathir walau bagaimanapun mendedahkan terdapat masalah dalam usaha itu kerana Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara yang tidak disebutkan di mana Low dipercayai sedang bersembunyi.

"Kami sedang berusaha menangkap Jho Low tetapi dia tidak berada dalam negara dan kami tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara yang dia tinggal itu," kata Dr Mahathir semasa bercakap di sidang akhbar di Putrajaya hari ini (8 Jun).

Ditanya mengenai sebab untuk menahan Jho Low, Dr Mahathir berkata ia berdasarkan siasatan pihak berkuasa terhadap peranannya dalam skandal 1MDB.

"Saya fikir mereka telah menyiasat peranannya dalam 1MDB dan ini akan menjadi alasan untuk menagkapnya," kata Dr Mahathir selepas bermesyuarat dengan beberapa menteri serta bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sumber SPRM, semalam mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa waran tangkap ke atas Low serta seorang lembaga pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil telah dikeluarkan beberapa hari lalu.

Memetik sumber, Bloomberg pula melaporkan bahawa SPRM juga mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Halmi, dan bekas tokoh perbankan Goldman Sach, Roger Ng.

Low ialah tokoh penting dalam skandal 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa Low terlibat dalam beberapa penyelewengan dana 1MDB.

Beliau didakwa menggunakan dana 1MDB untuk membeli kapal mewah Equanimity; barang kemas yang dihadiahkan kepada model Miranda Kerr; dan juga kalung berlian merah jambu berharga AS$27.3 juta (S$36.47 juta) untuk isteri Pegawai Malaysia 1 (MO1).

DOJ mendakwa berlian merah jambu itu dibeli menggunakan AS$620 juta (S$828.32 juta)yang didakwa MO1 telah dipulangkan kembali kepada penderma keluarga diraja Arab Saudi, tetapi sebaliknya disalurkan ke akaun yang didakwa dikawal oleh Low.

Bekas menteri Umno, Abdul Rahman telah mengenalpasti MO1 sebagai mantan perdana menteri Najib Razak.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan