Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jerebu di wilayah utara Thailand semakin buruk

Keadaan jerebu yang melanda wilayah di bahagian utara Thailand kini semakin teruk dengan Indeks Mutu Udara (AQI) berada pada paras 'sangat tidak sihat', dengan sebuah universiti membatalkan kuliahnya disebabkan cuaca berjerebu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu di wilayah utara Thailand semakin buruk

Gambari fail: Mutu udara di utara Thailand.

Diterbitkan : 16 Mar 2019 11:25AM Dikemas Kini : 16 Mar 2019 11:28AM

BANGKOK: Keadaan jerebu yang melanda wilayah di bahagian utara Thailand kini semakin teruk dengan Indeks Mutu Udara (AQI) berada pada paras 'sangat tidak sihat', dengan sebuah universiti membatalkan kuliahnya disebabkan cuaca berjerebu.

Dalam laporan mutu udaranya, Jabatan Pengawalan Pencemaran Thailand (PCD) melaporkan bahawa bacaan AQI di Wiang Phang Kham di daerah Mae Sai Chiang Rai, berada adalah 320 pada pukul 4.00 petang (waktu tempatan) Jumaat (15 Mac), yang merupakan bacaan tertinggi di seluruh negara. Bacaan PM2.5 pula adalah 210 μg/m³.

Bacaan AQI di lapan wilayah - Chiang Rai, Chiang Mai, Lampang, Lamphun, Mae Hong Son, Nan, Phrae, Phayao juga 'amat tidak sihat’ manakala wilayah Tak pula dalam keadaan 'tidak sihat'. Bacaan PM2.5 di sembilan wilayah tersebut adalah antara 73 μg/m³ hingga 210 μg/m³.

Sementara itu, menurut Sistem Pemantauan Kebakaran Thailand, sejumlah 926 titik panas dikesan di negara itu. Imej satelit menunjukkan sejumlah 561 titik panas berada di wilayah utara, di mana Mae Hong Son mencatatkan jumlah tertinggi dengan 104 titik panas.

Sebuah akhbar harian tempatan, The Nation, pula melaporkan bahawa Kampus Lampang, Universiti Thammasat, membatalkan kelas dan tugas pejabat dari Jumaat (15 Mac) sehingga Isnin (18 Mac) disebabkan jerebu di kawasan terbabit.

Jerebu menjadi masalah tahunan di sembilan wilayah di bahagian utara Thailand yang disebabkan oleh kebakaran hutan, pembakaran terbuka dan juga jerebu melepasi sempadan dari negara jiran Laos dan Myanmar.

Pada Khamis (14 Mac), Penerbangan Bangkok mengumumkan pembatalan penerbangan antara Chiang Mai dengan Mae Hong Son sehingga hari ini (16 Mac), disebabkan oleh jarak penglihatan buruk akibat kebakaran hutan di kawasan tersebut.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan