Images
  • kim jong un
    Ancaman pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un mendorong Jepun membuat peruntukkan tertinggi bagi belanjawan pertahanan (Gambar fail: KCNA).

Jepun sasar belanjawan pertahanan AS$46 bilion bagi tangkis ancaman Korea Utara

TOKYO: Jepun merancang untuk memperuntukkan AS$46 bilion (S$62 bilion) pada tahun fiskal akan datang bagi memperkukuhkan pertahanannya terhadap ancaman peluru berpandu Korea Utara.

Sebelum ini, pemerintah Jepun dijangka akan mengetepikan 5.19 trilion yen (S$59 bilion) untuk pertahanan negara itu berdasarkan saranan bagi belanjawan asal untuk tahun fiskal bermula April 2018. Demikian menurut akhbar Nikkei.

Ini merupakan tahun keenam berturut-turut Jepun menambah jumlah yang diperuntukkan untuk pertahanan negara itu. Menurut akhbar itu lagi, jumlah yang dirancang kali ini merupakan peruntukan tertinggi.

Sebahagian besar peningkatan ini adalah bagi melindungi Jepun daripada ancaman nuklear Korea Utara serta peluru berpandunya yang semakin canggih.

Menurut Nikkei, dana tambahan itu akan meliputi kos persiapan bagi memperkenalkan sistem pemintas peluru berpandu Aegis Ashore dari Amerika Syarikat.

Minggu lepas, menteri pertahanan Jepun, Itsunori Onodera berkata negara itu merancang untuk membeli pelbagai peluru berpandu jarak jauh yang mampu terbang sejauh 900 kilometer daripada syarikat-syarikat Amerika Syarikat.

Langkah ini menjadi satu kontroversi memandangkan perlembagaan Jepun melarang penggunaan kekerasan untuk menghuraikan pertikaian antarabangsa.  

- AFP/AQ/aq

Top