Images
  • covid-19 japan
    Penduduk di Tokyo, Jepun pakai pelitup pada 20 Nov 2020 di tengah pandemik COVID-19 (Gambar: AP/Eugene Hoshiko)

Jepun catat rekod baru kes COVID-19; gantung sebahagian perjalanan tempatan

TOKYO: Jumlah kes disahkan COVID-19 di Jepun mencatat rekod buat hari ketiga berturut-turut, dengan 2,418 kes dilaporkan, dedah kementerian kesihatan pada Sabtu (21 Nov).

Kerajaan mengumumkan akan menangguhkan kempen perjalanan domestik di daerah di mana jangkitan COVID-19 sangat tinggi, sedang jumlah kes di Tokyo juga mencapai tahap tertinggi sebanyak 539 pada Sabtu.

Penangguhan sebahagian perjalanan domestik itu menandakan perubahan haluan kerajaan, yang sedang cuba mengelak daripada menyekat program subsidi perjalanan domestik.

"Kami akan menangguhkan tempahan baru di bawah program Go To Travel untuk perjalanan ke wilayah-wilayah yang menyaksikan peningkatan jangkitan virus korona," kata Perdana Menteri Yoshihide Suga.

Encik Suga sedang cuba mengimbangi antara memulihkan ekonomi Jepun yang teruk terjejas dengan terus mengawal penularan COVID-19.

Namun, sebuah panel pakar mengesyorkan pada Jumaat agar kerajaan menghentikan program tersebut sekiranya terdapat peningkatan kes.

Jepun, dengan kurang dari 2,000 kematian yang dikaitkan dengan COVID-19, secara amnya berjaya mengatasi kesan teruk pandemik itu, dengan pelaksanaan jarak sosial dan penggunaan pelitup secara meluas.

Namun kebimbangan semakin meningkat terhadap peningkatan jangkitan baru, sedang negara itu memulakan hujung minggu panjang. 

- Agensi berita/TQ/tq

Top