Images
  • japan pm
    Perdana Menteri Jepun yang baru dipilih, Fumio Kishida, tiba di kediaman rasminya di Tokyo, Jepun, pada 4 Okt 2021. (Gambar: Reuters)

Jepun bubar Parlimen, pilihan raya umum diadakan 31 Okt

TOKYO: Pilihan raya umum Jepun bakal diadakan pada 31 Okt selepas Parlimen negara tersebut dibubarkan pada Khamis (14 Okt), lapor Agensi Berita Xinhua.

Penggal empat tahun Ahli Parlimen Dewan Rakyat tamat pada 21 Okt. 

Dalam era selepas perang, buat kali pertama pilihan raya umum Jepun diadakan selepas tempoh penggal berakhir. Tempoh masa antara pembubaran Parlimen dan hari pengundian juga adalah yang paling singkat.

Pada 29 Sep lepas Fumio Kishida memenangi pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) dan dipilih menjadi perdana menteri baru pada 4 Okt.

Encik Kishida mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada rakyat pada pilihan raya umum kali ini menerusi dasarnya untuk memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik dan memperkasa tindak balas COVID-19.

Beliau berkata pakej ekonomi bernilai "puluhan trilion yen" sedang disiapkan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri, Encik Kishida berikrar untuk mencapai pertumbuhan ekonomi negara dan mengagihkan semula hasil kejayaan itu untuk mewujudkan kelas pertengahan yang lebih kuat.

Namun, baru-baru ini beliau menegaskan Jepun perlu merealisasikan pertumbuhan ekonomi terlebih dahulu sebelum mengagihkan semula kekayaan.

Menurut tinjauan Kyodo News, rating sokongan terhadap Kabinet Kishida sebanyak 55.7 peratus.

Ikrar Encik Kishida untuk mengurangkan jurang kekayaan agak diragui selepas beliau menyatakan untuk menangguhkan rancangannya mempertimbangkan menaikkan kadar cukai keuntungan modal.

Sementara itu, Parti Perlembagaan Demokratik Jepun (CDPJ) menegaskan bahawa Jepun tidak dapat mencapai pertumbuhan ekonomi dan pengurangan kemiskinan kecuali masalah pengagihan semula kekayaan diatasi terlebih dahulu.

Parti itu berikar akan meningkatkan cukai individu yang kaya dan syarikat besar sambil meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

CDPJ telah meminta menurunkan cukai penggunaan dari 10 peratus kepada lima peratus dan pengecualian cukai kepada mereka yang memperoleh kurang 10 juta yen (S$118,890) setiap tahun.

- BERNAMA/SU/fz

Top