Images
  • Sriwijaya Air
    Pegawai KNKT meneliti serpihan Sriwijaya Air SJ182, pada 10 Jan 2021. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)

Jenazah pramugara nahas Sriwijaya Air diserahkan kepada keluarganya

JAKARTA: Jenazah salah seorang pramugara pesawat Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas di Laut Jawa, Okky Bisma, akan diserahkan kepada keluarganya.

Jenazahnya akan diserahkan oleh Pasukan Pengenalan Mangsa Bencana (DVI) kepada keluarga di Hospital Polis Negara Indonesia di Kramat Jati, Jakarta Timur hari ini (14 Jan).

"Salah satu korban atas nama Okky Bisma dan pada hari ini keluarga telah sepakat hasil kerja dari pasukan DVI untuk diserahkan ke pihak keluarga untuk dimakamkan," kata pegawai polis Brigadier Jeneral Rusdi Hartono.

Proses penyerahan jenazah akan dilakukan oleh Ketua Hospital Brigedier Jeneral Asep Hendradiana kepada pihak syarikat penerbangan Sriwijaya Air.

"Semoga kita berdoa almarhum diterima amal baiknya, ditempatkan di sisi Allah yang terbaik. Kami berharap keluarga yang ditinggalkan diberikan kesabaran dan keikhlasan," kata Encik Asep, seperti yang dipetik oleh Antara.

Pihak Sriwijaya Air kemudian akan menyerahkan jenazah Allahyarham Okky kepada bapanya, Supeno Hendi Kiswanto.

Encik Supeno mengatakan, sebenarnya jenazah Allahyarham Okky sudah boleh diambil pada Isnin (11/1). Namun pihak keluarga masih berharap agar semua bahagian jasad Allahyarham dijumpai terlebih dahulu.

"Tapi hingga kelmarin banyak kantong jenazah yang belum dikenal pasti. Saya serahkan semuanya kepada Allah, saya harus makamkan hari ini," kata beliau.

Jenazah Allahyarham Okky difahamkan dilaporkan adalah jenazah pertama yang dikenal pasti menyusuli insiden pesawat Sriwijaya Air yang terhempas pada 9 Januari lalu.

Jenazahnya dapat dikenal pasti dengan mudah kerana bahagian tapak tangan kanannya masih utuh

Maka itu, pasukan polis dapat memadankan cap jari Allahyarham dengan cap jarinya yang tertera pada kad pengenalannya.

Pasukan itu juga sudah mengenal pasti lagi dua jenazah. Bermakna, sehingga semalam sebanyak enam jenazah sudah dikenal pasti, lapor Antara.

- Agensi berita/NK/nk

Top