Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jenazah Bonda Sultan Ibrahim tiba di Johor untuk dimakamkan

Jenazah bonda Sultan Johor, Almarhumah Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) malam tadi (5 Jun) untuk dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah hari ini (6 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Jenazah Bonda Sultan Ibrahim tiba di Johor untuk dimakamkan

Ambulans peribadi Sultan Johor. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Jun 2018 01:19AM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 01:20AM

JOHOR BAHRU: Jenazah bonda Sultan Johor, Almarhumah Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) malam tadi (5 Jun) untuk dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah hari ini (6 Jun).

Jenazah Almarhumah Hajah Khalsom tiba dari London di Hangar Diraja LTAS pada sekitar 11.00 malam dengan menaiki pesawat peribadi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Ketibaan jenazah disambut Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerabat damping, Jumaah Majlis Diraja Johor, Menteri Besar Osman Sapian serta barisan Exco kerajaan negeri.

Jenazah kemudian diiring ke Istana Besar menggunakan ambulans peribadi Sultan Johor dan tiba di istana berkenaan pada sekitar 11.45 malam untuk disemayamkan.

Istiadat Pemakaman Almarhumah hari ini (6 Jun) akan diadakan separuh istiadat kemangkatan diraja dan jenazah akan ditarik oleh sebuah pedati khas membabitkan 40 Askar Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar sejauh 2.8 kilometer ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

Jenazah Almarhumah akan dimakamkan sebaris dengan makam cucunda baginda, Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat akibat penyakit barah pada 5 Disember 2015.

Hajah Khalsom, 83, atau nama asalnya, Josephine Ruby Trevorrow dilahirkan pada 2 Disember 1935 di Cornwall, England.

Almarhumah yang mangkat pada 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London, pada 1 Jun lalu, dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hasil perkahwinan bersama Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan