Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah Islamiyah sudah menyusup masuk institusi agama & sivik, sebar ideologi

Para anggota rangkaian pengganas serantau, Jemaah Islamiyah (JI) sudah menyusup masuk ke institusi-institusi agama dan awam merata Indonesia untuk menyebarkan ideologi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah Islamiyah sudah menyusup masuk institusi agama & sivik, sebar ideologi

Gambar: AFP

Diterbitkan : 23 Nov 2021 07:24PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 07:26PM

JAKARTA: Para anggota rangkaian pengganas serantau, Jemaah Islamiyah (JI) sudah menyusup masuk ke institusi-institusi agama dan awam merata Indonesia untuk menyebarkan ideologi mereka.

Demikian amaran pegawai kanan Agensi Antipengganasan negara itu.

Minggu lalu, polis memberkas tiga individu disyaki mengumpul dana untuk kumpulan pengganas berhubung kait dengan Al-Qaeda.

Antaranya, Ahmad Zain An-Naja, seorang anggota Majlis Ulama Indonesia (MUI), badan separuh rasmi ulama yang berpengaruh di negara itu. Malah Ahmad Zain menganggotai suruhanjaya fatwa majlis tersebut.

Lagi dua individu adalah Farid Okbah, seorang pendakwah dan Anung Al-Hamat seorang pensyarah universiti.

"Penahanan-penahanan itu menunjukkan bahawa Jemaah Islamiyah sudah menyusup masuk setiap aspek kehidpan penduduk," kata Encik Ahmad Nurwakhid, pengarah pencegahan pengganasan Agensi Antipengganasan Nasional hari ini (23 Nov).

"Kemungkinan besar mereka juga sudahpun menyusup masuk pertubuhan-pertubuhan agama lain, termasuk pertubuhan-pertubuhan sukan dan kelab-kelab motosikal."

Encik Nurwakhid berkata sejak 2010, penguat kuasa undang-undang memberkas 18 penjawat awam, lapan pegawai polis dan lima pegawai tentera yang mempunyai kaitan dengan JI. "Mereka amat bijak menyembunyikan identiti sebenar mereka," kata beliau.

JI bertanggungjawab atas sebilangan serangan-serangan pengganasan yang menyebabkan korban jiwa di Indonesia, termasuk Pengeboman Bali pada 2002 yang meragut nyawa 202 orang.

Serangan terakhir yang didalangi secara langsung oleh JI adalah pada 2007. Sejak itu, Encik Nurwakhid berkata kumpulan pengganasan tersebut menumpukan lebih banyak perhatian kepada usaha merekrut anggota, mengumpul dana dan menyebarkan ideologinya secara rahsia.

Perubahan strategi itu dilaksanakan di bawah kepimpinan Para Wijayanto yang menerajui rangkaian pengganas tersebut sejak 2008 hingga dia diberkas pada 2019. Wijayanto kini sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun.

"Mereka sebelum ini menumpukan perhatian kepada usaha melancarkan serangan tetapi Para Wijayanto menukarnya kepada menyebarkan ideologi, merekrut lebih ramai anggota dan meluaskan sokongan serta mengumpul dana," kata beliau sambil menambah, selain daripada kegiatan-kegiatan yang nampak tidak berbahaya itu, JI juga bekerja keras untuk membeli senjata dan melatih rekrut.

"Mereka masih berbahaya dan sangat mampu untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa sesuka hati mereka."

Encik Nurwakhid berkata anggota MUI itu, Ahmad Zain, menganggotai lembaga yayasan amal bernama Abdurrahman Bin Auf yang menurut polis adalah wadah digunakan JI untuk mengumpul dana.

MUI menyatakan ia sudahpun menggantung Ahmad Zain daripada meneruskan tugas dan berikrar akan lebih ketat dalam melantik anggota pada masa hadapan. Majlis itu juga menekankan bahawa hubungan Ahmad Zain dan JI adalah "hal peribadi" dan tidak bersangkut paut dengan peranannya di MUI.

Turut menganggotai lembaga itu adalah Farid, seorang pendakwah yang menurut polis merupakan penasihat peribadi Wijayanto dan mempunyai hubungan panjang dengan rangkaian pengganas tersebut.

Farid juga pengasas dan pengerusi bagi parti politik yang kurang dikenali yang dipanggil Parti Dakwah Rakyat Indonesia. Namun, polis belum dapat menentukan sama ada parti itu juga ada kaitan dengan rangkaian pengganas tersebut.

Bagi pensyarah itu pula, dia adalah pengasas pertubuhan bantuan perundangan yang menyediakan sokongan kewangan dan perundangan kepada anggota JI yang ditahan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan