Images
  • haji 2021 arafah
    Para jemaah haji berkumpul di Arafah di luar bandar suci Makkah, Arab Saudi, pada 19 Jul 2021. (Gambar: Ahmed Yosri/REUTERS)

Jemaah haji di Arafah panjatkan doa pohon dunia bebas COVID-19

ARAFAH: Ribuan jemaah haji yang menunaikan rukun Islam kelima itu berhimpun di Bukit Arafah pada Isnin (19 Jul) untuk menebus dosa-dosa mereka juga memanjatkan doa memohon kedamaian dan pengakhiran pandemik COVID-19

Arab Saudi, negara di mana Makkah dan Madinah iaitu tapak-tapak paling suci dalam Islam bertempat, melarang para jemaah haji dari luar negara buat tahun kedua berturut-turut tahun ini. Ia juga menyekat kemasukan dari Saudi sendiri di bawah syarat khas untuk membendung penularan koronavirus dan varian-varian barunya.

Hanya 60,000 rakyat Saudi dan penduduk, berusia antara 18 hingga 65 tahun, yang sudahpun lengkap divaksinasi atau pulih sepenuhnya daripada koronavirus serta tidak mengalami penyakit kronik dipilih untuk naik haji.

"Ia adalah satu perasaan yang tidak boleh digambarkan apabila saya dipilih dalam kalangan berjuta-juta orang untuk menunaikan haji. Saya berdoa kepada Allah untuk menamatkan masa-masa sulit ini yang dilalui seluruh dunia disebabkan koronavirus," ujar Um Ahmed, seorang jemaah haji warga Palestin yang menetap di ibu kota Saudi, Riyadh.

Um Ahmed berkongsi beliau sudah kehilangan empat anggota keluarga yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Pada tahun-tahun lalu, lebih dua juta jemaah haji membanjiri Jabal Rahmah di padang Arafah, duduk berhimpit-himpit di bawah terik mentari bandar gurun Makkah dan membawa payung serta kipas untuk menyejukkan diri kerana suhu boleh mencecah setinggi 40 darjah Selsius.

Namun, suasana cukup berbeza kali ini seperti tahun lalu.

Tahun ini, para jemaah haji perlu mematuhi langkah-langkah jarak selamat selain memakai pelitup ketika berada di Gunung Arafah.

"Doa pertama (saya) adalah untuk meminta Tuhan menghapuskan pandemik ini, sumpahan ini serta kesedihan ini bagi seluruh umat dunia dan Muslim agar pada tahun-tahun seterusnya, mereka boleh mengerjakan haji dan memenuhi kembali tapak-tapak suci ini," kata Maher Baroody, seorang jemaah haji warga Syria.  

- REUTERS/FZ/fz

Top