Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah berbuka puasa di masjid diserang dengan 3 bom nekad, 10 maut

Tiga pengebom nekad melancarkan serangan di sebuah masjid di bandar tenggara Diffa di Niger ketika para jemaah sedang berkumpul untuk satu acara iftar. 

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah berbuka puasa di masjid diserang dengan 3 bom nekad, 10 maut

Serangan berlaku di ibu kota Diffa. (Gambar: Boureima Hama/ AFP)

Diterbitkan : 06 Jun 2018 12:13AM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 12:17AM

NIAMEY: Tiga pengebom nekad melancarkan serangan di sebuah masjid di bandar tenggara Diffa di Niger ketika para jemaah sedang berkumpul untuk satu acara iftar. 10 orang maut dalam serangan itu, kata seorang jurucakap tentera pada Selasa (5 Jun).

Kawasan di sekitar Diffa, berhampiran Tasik Chad dan sempadan Nigeria, Chad dengan Cameroon, adalah kubu kuat dua puak kumpulan militan Boko Haram, yang berjuang untuk membangunkan sebuah negara Islam di rantau itu.

"Semalam tiga orang melancarkan serangan bom semasa satu acara keagamaan berlangsung," kata seorang jurucakap. Beliau selanjutnya mendedahkan ketiga-tiga pengebom nekad itu semuanya wanita.

Niger Tenggara menyaksikan beberapa serangan oleh anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Boko Haram. Kumpulan Islam itu akhirnya berpecah menjadi dua puak, dengan satu daripadanya mengikrarkan kesetiaan kepada kumpulan pengganas di Syria.

Tentera-tentera dari Niger dan Amerika Syarikat membunuh 11 anggota militan yang mempunyai kaitan dengan ISIS dalam satu pertempuran pada Disember lalu.

Boko Haram kadangkala menggunakan pengebom nekad wanita dalam kempen-kempen mereka terhadap pasukan keselamatan dan orang awam, dengan tanggapan wanita tidak mudah dicurigai.

Lebih 15,000 orang terkorban dan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal dek konflik di wilayah Tasik Chad.

Selepas serangan maut di bandar Bosso, Nigeria, pada Jun 2016, yang meragut nyawa 32 askar, Chad mengerahkan 2,000 tenteranya bagi membantu Niger, namun mereka menarik diri pada Oktober tahun lalu.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan