Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jelang Raya: Banduan akhir rindu untuk bersua dengan keluarga, anak

Selepas sebulan berpuasa, kemunculan Aidilfitri begitu dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam terutama penghuni tirai besi untuk berjumpa secara bersemuka dengan ahli keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
Jelang Raya: Banduan akhir rindu untuk bersua dengan keluarga, anak

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 23 May 2020 05:17PM Dikemas Kini : 23 May 2020 05:23PM

TAPAH: Selepas sebulan berpuasa, kemunculan Aidilfitri begitu dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam terutama penghuni tirai besi untuk berjumpa secara bersemuka dengan ahli keluarga.

Namun pada tahun ini hasrat itu hanya tinggal impian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini.

Keadaan itu lebih terasa bagi banduan akhir yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, 33, yang sememangnya menanti ketibaan Aidilfitri untuk bertemu ibu bapa untuk memohon maaf dan berharap untuk mendengar panggilan “ayah” daripada dua anaknya yang berumur 12 tahun dan lapan tahun.

Dia yang dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan membunuh ketika merompak sebuah kedai emas di Taiping pada tahun 2012, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan ibu bapanya adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di sebalik cermin kaca penjara. 

“Saya dan isteri pula sudah bercerai… saya teringin sangat nak mendengar panggilan ‘ayah’ daripada anak kedua yang tidak pernah ditemui kerana saya masuk penjara ketika dia masih berumur sebulan (sebab bekas isteri tak benarkan saya berjumpa),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Penjara Tapah, baru-baru ini.

Dia yang begitu sedih kerana terpaksa berhadapan dengan hakikat kehilangan isteri dan anak-anak akibat perbuatannya itu, berulang kali menyatakan rasa kesalnya terhadap kesalahan yang dilakukan.

Bagi Salmah (bukan nama sebenar), 31, yang juga merupakan banduan akhir bagi kesalahan mengikut Seksyen 39 (B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, berkata dia amat teringin dan rindu untuk bertemu dengan anaknya yang dilahirkan di penjara itu tujuh tahun lalu dan kini dijaga ahli keluarganya.

Namun menyusuli penguatkuasaan PKPB, hasratnya itu tidak dapat ditunaikan pada Aidilfitri kali ini.

Menceritakan kisah hitam yang menimpa dirinya itu, Salmah yang ketika itu mengandung dua bulan telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tujuh tahun lepas kerana kesalahan memiliki dadah.

Dia sempat menjaga anaknya itu selama 10 bulan sebelum diserahkan kepada ahli keluarga terdekat kerana menyedari membesarkan anak di dalam penjara bukanlah mudah tambahan anaknya itu kerap jatuh sakit.

Sementara itu, Ketua Penolong Penguasa Penjara Tapah Abdul Razak Darus berkata kebiasaannya seminggu selepas 1 Syawal, beberapa banduan penjara itu dibenarkan berjumpa ahli keluarga menerusi program Jalinan Kasih sempena Hari Raya Aidilfitri namun ia tidak dapat dilakukan pada tahun ini disebabkan PKPB.

“Memang setiap tahun kami akan beri peluang kepada banduan untuk berjumpa ahli keluarga. Namun waktu sekarang ini (PKPB) tiada sebarang perjumpaan dibenarkan,” katanya.

Bagaimanapun, bagi mengubati rindu kepada keluarga, katanya pihak Penjara Tapah akan membenarkan banduan terpilih membuat panggilan telefon atau Skype kepada keluarga masing-masing selama 10 minit yang akan diawasi pegawai penjara.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan