Images
  • dr noor hisham abdullah msia covid-19
    (Gambar fail: BERNAMA)

Jangkitan COVID-19 varian Delta boleh merebak melalui udara dalam masa 15 saat

PUTRAJAYA: Jangkitan varian baru COVID-19 termasuk varian Delta boleh merebak dengan pantas dalam masa hanya 15 saat melalui udara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya lagi, jangkitan melalui udara itu akan meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam masyarakat yang menyebabkan peningkatan kes harian.

“Peningkatan kes bukan hanya negara kita tetapi seluruh dunia terkesan dengan varian Delta termasuk negara jiran dan United Kingdom kerana varian Delta kini dominan menggantikan varian sedia ada. Kita lihat peningkatan kes sejak 26 Jun lepas... peningkatan ini kerana kadar kebolehjangkitan varian Delta yang begitu cepat.

“Kalau kadar kebolehjangkitan virus biasa antara 2.5 hingga 3 tetapi varian Delta dan varian yang kita kenal pasti adalah tinggi iaitu 5 hingga 8 kerana sifat virus berubah. Ertinya kalau 100 orang dijangkiti dalam tempoh masa terdekat akan jangkiti 500 hingga 800 orang,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan (KKM) pada Khamis (15 Jul).

Sementara itu, menurut Dr Noor Hisham, pelaksanaan kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara bermula 1 Jun lalu memberi ruang dan masa kepada KKM untuk mengurus penambahan katil, peralatan dan ubat-ubatan di hospital seluruh negara.

Katanya lagi, ia boleh dilihat melalui kemampuan kementerian menyediakan 4,300 katil setakat ini dengan 3,600 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selain menambah 700 katil di tiga hospital termasuk di Hospital Serdang. 

“Inilah masa yang kita gunakan untuk melaksanakan perolehan dan juga memberi masa untuk fasiliti kesihatan menampung pesakit,” katanya.

- BERNAMA/HA/ha

Top