Images
  • pill ubat file
    (Sumber: France24/BERNAMA)

Jangan terpedaya 'penawar' COVID-19 dijual online, kata Ketua Pengarah Kesihatan M'sia

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihati supaya jangan terpedaya dan membeli ubat-ubatan yang diiklankan di aplikasi jual beli online yang kononnya berkesan untuk merawat jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, tiada mana-mana ubat yang disahkan berkesan serta mampu merawat individu daripada jangkitan COVID-19.

Katanya lagi, sekiranya wujud ubat yang mampu menyembuhkan COVID-19 ini, sudah tentu individu itu telah menjadi seorang jutawan.

“Setakat ini, masih tiada ubat berkesan untuk rawat penyakit ini dan kalau mereka ada ubat sembuhkan (COVID-19) sudah tentu individu ini telah kaya raya kerana satu dunia mencari ubat ini,” katanya di sidang media perkembangan terkini COVID-19 pada Khamis (22 Okt).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai iklan ubat-ubatan yang kononnya mampu menyembuhkan COVID-19 yang dijual di aplikasi jual beli dalam talian.

Semakan Bernama di aplikasi jual beli dalam talian ini mendapati ubat-ubatan dari negara China itu dijual pada harga RM12.

Isnin lalu, Dr Noor Hisham berkata penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit COVID-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu.

Menurutnya lagi, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Solidarity Trial’ turut membuktikan ubat antimalaria hydroxychloroquine, serta lopinavir dan ritonavir, tidak berkesan dalam merawat pandemik itu.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata ubat antivirus dexamethasone, iaitu ubat menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif terhadap kesihatan pesakit COVID-19. 

- BERNAMA/TQ/tq

Top