Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan terpancing dengan perbezaan hingga timbulkan perpecahan, kata Ahmad Zahid

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Encik Ahmad Zahid Hamidi hari ini (14 Jun) mengajak rakyat Malaysia supaya jangan sampai mudah terpancing dengan perbezaan sehingga menimbulkan perpecahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan terpancing dengan perbezaan hingga timbulkan perpecahan, kata Ahmad Zahid

Petikan skrin

Diterbitkan : 14 Jun 2018 03:08PM Dikemas Kini : 14 Jun 2018 03:11PM

PUTRAJAYA: Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Encik Ahmad Zahid Hamidi hari ini (14 Jun) mengajak rakyat Malaysia supaya jangan sampai mudah terpancing dengan perbezaan sehingga menimbulkan perpecahan.

Malah, kata beliau, sesungguhnya pengajaran terpenting adalah perdamaian itu harganya sangat mahal.

“Oleh itu, amat penting kita tanamkan kepada generasi muda agar sentiasa bertoleransi terhadap perbezaan, jangan memaksakan kehendaknya yang belum tentu kebenarannya.

“Menjadi Muslim yang sentiasa merangkul bukan memukul, mengajak bukan mengejek, sentiasa mendidik bukan mengherdik dan yang sentiasa bertoleransi akan perbezaan, kerana perbezaan itu indah jika mengambil kira dari segi positifnya.

“Sesungguhnya pengajaran terpenting adalah perdamaian itu harganya sangat mahal,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Encik Ahmad Zahid mempelawa semua lapisan masyarakat pelbagai kaum dan agama menyambut Aidilfitri bersama umat Islam sebagai lambang perpaduan.

Kepada umat Islam, mantan timbalan perdana menteri itu juga mengajak mereka untuk kembali membina iltizam meneruskan perjuangan dengan berpaksikan kepada kejujuran hati suci, mentarbiahkan keesaan Ilahi dan bersama menyalakan obor suci agama.

“Saya yakin dengan memperkukuhkan jalinan ukhwah sesama Muslimin dan Muslimah, kita juga tetap memelihara keharmonian umat yang pelbagai latar kehidupan, budaya, keturunan dan pegangangan agama, untuk kita sama-sama membina negara agar sentiasa terpelihara dari sebarang musibah dari kekhilafan insaniah,” katanya.

Kepada anggota UMNO pula, Encik Ahmad Zahid berpesan supaya mereka sentiasa memberi sokongan kepada pemimpin dan parti bagi meneruskan perjuangan suci demi memartabatkan agama, kaum dan tanah air, lapor Malaysiakini.

“Sewajarnya dalam kita melalui semangat kehadiran syawal selepas mengerjakan ibadat berpuasa, bertahmid, berzikir dan berterawih dalam sebuah jemaah suci tanpa melupakan witir dalam selawat kepada Rasulullah, saya mengundang saudara-saudari untuk memperkukuhkan ukhwah hubungan sesama insan sambil berikrar memperbaiki setiap kealpaan dan kesilapan diri tanpa melupakan nikmat serta kebesaran Allah.”

Beliau mengakhiri perutusannya itu dengan memetik kata-kata tokoh pemikir Islam, Imam Al-Ghazali.

“Yang jauh itu waktu,
Yang dekat itu mati,
Yang besar itu nafsu,
Yang berat itu amanah,
Yang mudah itu berbuat dosa,
Yang panjang itu amal soleh,
Yang indah itu saling memaafkan.”

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan