Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan guna plastik, polistirena: Johor siap guna bungkusan dari bahan mudah larut mulai 1 Jan

Penggunaan bungkusan dari bahan mudah larut, yang tempoh bertenangnya dijangka bermula 1 Januari ini di Johor, mendapat sokongan bukan sahaja daripada para penjual makanan dan pengendali pasar raya, malah juga masyarakat tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan guna plastik, polistirena: Johor siap guna bungkusan dari bahan mudah larut mulai 1 Jan

Beg-beg plastik yang dibuang. (Gambar: Waterways Watch Society)

Diterbitkan : 26 Dec 2017 04:52PM Dikemas Kini : 26 Dec 2017 04:57PM

JOHOR BAHRU: Penggunaan bungkusan dari bahan mudah larut, yang tempoh bertenangnya dijangka bermula 1 Januari ini di Johor, mendapat sokongan bukan sahaja daripada para penjual makanan dan pengendali pasar raya, malah juga masyarakat tempatan dalam usaha negeri itu untuk memulihara sekitaran.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi perniagaan di sekitar bandar raya itu mendapati kebanyakan mereka, terutamanya peniaga, sudah bersedia melaksanakan arahan itu yang antara lain bertujuan memastikan kelestarian alam sekitar.

Pengusaha restoran Roslan Ibrahim berkata beliau sudah mengetahui mengenai penguatkuasaan tersebut dan sudah bersedia lebih awal dengan menggunakan plastik bungkusan mudah larut berbanding polistirena.

"Usaha kerajaan negeri ini sememangnya baik kerana sedikit-sebanyak dapat mengelakkan pencemaran alam terutama di Johor iaitu antara negeri yang mempunyai banyak industri dan berkembang pesat," kata pengusaha berumur 57 tahun itu.

Sementara itu, Huzaim Mohd Lep yang sudah hampir 35 tahun berniaga makanan, berharap lebih banyak bekalan bungkusan makanan mudah larut pada disediakan pada harga berpatutan kerana para peniaga menggunakan bekas makanan dalam jumlah yang banyak.

HARAP LEBIH BANYAK PROGRAM DIADAKAN BAGI TIMBULKAN KESEDARAN

Seorang pengusaha kedai kasut dan makanan, Kamal Nur Arif, 24 tahun, pula mengakui tidak tahu langsung mengenai tempoh bertenang tersebut mahupun tentang penguatkuasaan dasar baru itu dan berharap lebih banyak program penerangan dijalankan.

Seorang pengguna, Nur Ain Kamaruddin, 24 tahun, menyatakan kesediaan untuk menjadikan perkara itu amalan dalam kehidupan sehariannya.

“Saya tidak tahu mengenai pelaksanaan bungkusan mudah larut bagi menggantikan polistirena dan plastik di seluruh Johor mulai tahun depan, namun syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri atas usaha murni ini bagi memelihara alam sekitar,” kata pekerja sektor swasta itu.

Wanita itu turut berharap kerajaan negeri membuat hebahan yang lebih menyeluruh selain kempen kesedaran diadakan secara berterusan bagi memastikan seluruh masyarakat Johor bersama-sama menjaga alam sekitar.

Seorang pesara kerajaan, Jamiah Abdul Rahman berkata langkah kerajaan negeri itu memang tepat pada masanya seiring dengan status Johor yang pesat membangun.

PENIAGA SUDAH AMBIL LANGKAH AWAL SIAP SEDIA GANTI BEG PLASTIK

"Pelaksanaan bungkusan mudah larut atas usaha kerajaan negeri ini sangat bijak tetapi harga untuk mendapatkan bungkusan itu juga haruslah berpatutan dan rakyat juga perlu mampu untuk membelinya,” katanya, sambil menambah harga bungkusan plastik dan polistirena bukan sahaja murah tetapi juga mudah diperoleh.

Sementara itu, kesemua 17 cawangan pasar raya 'Econsave Cash and Carry' di negeri itu akan berhenti menjual bekas polistirena dan bungkusan makanan atau plastik konvensional bermula 1 Januari ini.

Pengurus Operasi Pasar raya 'Econsave Cash and Carry' di Wilayah Selatan Mas Imran Adam berkata pihaknya sudah mengambil langkah-langkah awal dengan menghentikan bekalan produk berkenaan dan akan digantikan dengan bahan bungkusan mudah larut seperti yang disarankan.

"Ada pelanggan yang datang membawa beg kitar semula ketika membeli belah di pasar raya kita. Ini sekaligus menunjukkan perubahan sikap mereka yang dulunya memakai plastik tapi kini membawa plastik sendiri atau beg kitar semula," katanya lagi.

Selain itu, pihaknya juga akan menggantikan penggunaan beg plastik untuk mengisi barang pelanggan kepada bungkusan mudah larut yang diperkenalkan secara berperingkat dan menjual beg kitar semula bagi kemudahan pelanggannya.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri itu memberikan tempoh setahun sebagai tahun penguatkuasaan melalui pendidikan untuk penggunaan bahan bungkusan mudah larut.

Tempoh bertenang itu akan bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018 bagi memberi peluang kepada orang awam serta peniaga mengambil maklum dan bersedia mematuhi peraturan yang ditetapkan tersebut sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Januari 2019. 

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan