Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Jangan berniaga dengan Iran'

Langkah ini menyusuli tindakan Amerika membatalkan persetujuan Perjanjian Nuklear 2015 pada Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
'Jangan berniaga dengan Iran'

Presiden Donald Trump. (Gambar: AP/Carolyn Kaster)

Diterbitkan : 08 Aug 2018 09:03AM Dikemas Kini : 08 Aug 2018 09:08AM

TEHRAN: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang mengadakan perdagangan dengan Iran.

"Mereka yang menjalankan perniagaan dengan Iran tidak boleh berniaga dengan Amerika," kata beliau dalam tweetnya pada hari Selasa (7 Ogos). Kenyataan beliau itu mencetuskan rasa marah, takut dan ingkar di Tehran.

Langkah ini menyusuli tindakan Amerika membatalkan persetujuan Perjanjian Nuklear 2015 pada Mei lalu.

Sekatan baru yang dikuatkuasakan disasarkan kepada industri utama Iran seperti perbankan, kereta dan permaidani. Namun, ia tidak mungkin menyebabkan pergolakan ekonomi serta merta.

Bahkan, bursa Iran sebenarnya agak kukuh, dengan mata wang Rial meningkat 20 peratus sejak Ahad (5 Ogos) selepas pemerintah melonggarkan peraturan pertukaran asing dan membenarkan import emas serta mata wang yang tidak dikenakan cukai.

Eksport minyak yang bermula pada 5 November bagaimanapun boleh mengakibatkan kesan yang lebih teruk - meskipun beberapa pelanggan utama Iran seperti China, India dan Turki enggan mengurangkan pembelian mereka dengan ketara.

Negara-negara Eropah yang memeterai perjanjian nuklear Iran bersama dengan Washington mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kekesalan mereka terhadap sekatan Amerika itu.

Mereka menyatakan langkah itu menyebabkan banyak firma besar negara masing-masing meninggalkan Iran kerana takut akan penalti yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Selang beberapa jam selepas sekatan-sekatan tersebut dikuatkuasakan, pengilang kereta Jerman, Daimler menyatakan bahawa ia sudah "menggantung kegiatan-kegiatan yang sudah terhad di Iran menyusuli sekatan itu".

Menurut Encik Trump pada Isnin (6 Ogos), beliau bersedia mengadakan rundingan baru untuk mencapai "perjanjian yang lebih menyeluruh" dengan Iran

Di Iran sendiri, negara itu menyifatkan tindakan Amerika melaksanakan semula sekatan penuh ke atas Tehran sebagai 'perang psikologi'.

Presiden Hassan Rouhani berkata, berunding dengan cara mengenakan sekatan adalah langsung tidak masuk akal.

"Kami sentiasa bersedia mengadakan diplomasi dan perbincangan, tetapi perbincangan memerlukan kejujuran," katanya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan