Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Janda yang buat persediaan melacur dihukum sebat

“Kamu telah berusia 45 tahun. Tidak sepatutnya kamu terlibat dengan kesalahan begini. Kamu sepatutnya telah matang dan boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang halal, mana yang haram dan berdosa.”

Anggaran Waktu Membaca:
Janda yang buat persediaan melacur dihukum sebat

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Oct 2018 11:10PM Dikemas Kini : 10 Oct 2018 11:13PM

KUALA TERENGGANU: “Kamu telah berusia 45 tahun. Tidak sepatutnya kamu terlibat dengan kesalahan begini. Kamu sepatutnya telah matang dan boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang halal, mana yang haram dan berdosa.”

Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, berkata demikian semasa menjatuhkan hukuman terhadap seorang janda yang mengaku bersalah atas tuduhan persediaan untuk melacurkan diri.

Bagi kesalahan itu, Hakim Kamalruazmi menjatuhkan hukuman sebatan sebanyak empat kali. Tertuduh akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor bermula hari ini (10 Okt) selama enam bulan.

Beliau berkata hukuman sebat akan dijalankan di Penjara Wanita Kajang selepas tempoh rayuan selama 14 hari selesai, manakala kos sepanjang tempoh pemulihan di pusat perlindungan tersebut akan ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu.

“Tertuduh lahir di Johor tetapi tinggal di Klang, Selangor. Ketika prosiding lalu ketika ditanya mahkamah kenapa kamu datang ke sini (Kuala Terengganu), kamu memberitahu datang semata-mata untuk membuat servis urut dan perkhidmatan seks. Bermakna kamu datang ke sini adalah semata-mata untuk perkara tersebut,” kata Hakim Kamalruazmi.

PENGAJARAN BAGI TERTUDUH DAN MASYARAKAT

Wanita, yang pernah berkahwin sebanyak dua kali tetapi tidak mempunyai anak, itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di situ bersama seorang lelaki yang dipercayai pelanggannya, pada kira-kira pukul 11.45 malam 19 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Dalam penghakiman itu juga, Hakim Kamalruazmi sempat menasihati wanita berkenaan supaya tidak lagi melakukan kesalahan itu serta menerima hukuman yang dijatuhkan itu sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat.

“Kes sebegini biasanya ada rangkaian dan satu tempat tahanan adalah amat perlu untuk tujuan menyekat gangguan daripada mana-mana pihak. Pemulihan boleh dibuat ke atas kamu... mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran kepada kamu dan orang lain bahawa perkara yang dibuat ini adalah salah dan tidak akan dibuat pada masa akan datang,” kata beliau.

Ketika prosiding itu, Encik Kamalruazmi sempat mencadangkan supaya sebuah pusat tahanan khas dibina ataupun menyediakan tempat tahanan, khusus di penjara yang sama bagi mengasingkan antara pesalah sivil dengan syariah kerana pendekatan pemulihan adalah berbeza.

TERTUDUH HIDUP SEBATANG KARA SEJAK BERPISAH

Sementara itu, sebelum bermula prosiding, wanita berkenaan menangis teresak-esak selepas melihat seorang ahli keluarganya hadir kerana sejak ditangkap, tiada seorang pun yang tampil hingga dia terpaksa ditahan di penjara kerana tiada penjamin.

Berdasarkan rayuan yang dikemukakan peguam syarie, Fazru Anuar Yusof, yang mewakilinya, tertuduh bagaikan sebatang kara sejak berpisah dengan suaminya setahun lalu dan perlu menyara hidupnya sendiri.

Wanita itu dilaporkan menerima bayaran untuk setiap perkhidmatan antara RM200 (S$66) hingga RM1,000 (S$333) dan memperolehi pelanggan menerusi online. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan